Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) berharap Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dapat membantu menyelesaikan isu sekatan pendaftaran pemain yang kini menjejaskan perancangan pasukan.
Ketua jurulatihnya, Irfan Bakti Abu Salim, berkata beliau sendiri sudah mengemukakan surat kepada AFC bagi memohon bantuan berhubung perkara itu yang dikatakan berpunca daripada pengurusan terdahulu.
Menurut beliau, situasi berkenaan menyebabkan KRW FC berdepan kesukaran untuk melengkapkan skuad, terutama apabila pasukan lain memiliki lebih ramai pemain import.
“Saya sendiri telah menghantar surat kepada AFC meminta pertolongan untuk selesaikan isu pendaftaran pemain. Kesian kepada pemain sedia ada kerana terpaksa bersaing dengan pasukan lain yang ada tujuh hingga sembilan pemain import,” katanya selepas aksi Piala FA menentang Kuching City FC di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, malam tadi.
Irfan Bakti berkata setakat ini masih belum ada perkembangan positif daripada FIFA, justeru beliau berharap AFC dapat membantu mencari jalan penyelesaian sebelum jendela pendaftaran pemain ditutup.
“Setakat ini belum menunjukkan apa-apa keputusan positif daripada FIFA, jadi saya rayu belas ihsan AFC untuk membantu kami menyelesaikan isu ini,” katanya.
Beliau turut mendedahkan KRW FC masih memerlukan tambahan pemain import di beberapa posisi penting termasuk pertahanan, tengah dan serangan bagi meningkatkan kekuatan pasukan.
“Pelbagai usaha telah dilakukan pihak pengurusan bagi menyelesaikan masalah ini, kami amat memerlukan pemain import di posisi pertahanan, tengah dan penyerang untuk memberi saingan kepada pasukan lain,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Irfan Bakti tetap berpuas hati dengan peningkatan prestasi anak buahnya selepas KRW FC berjaya mengekang Kuching City FC untuk seri 0-0 dalam aksi Piala FA, hanya tiga hari selepas dibelasah 5-0 dalam saingan Liga Super.
Beliau menyifatkan keputusan itu sebagai perkembangan positif apabila barisan pemainnya mampu memberikan saingan lebih sengit kepada Kuching City meskipun berdepan kekangan dari segi jumlah pemain import.
“Anak buah saya menunjukkan satu persembahan yang positif kerana baru sahaja tiga hari lepas mereka kalah kepada Kuching City FC dengan keputusan 5-0 pada saingan Liga Super,” katanya.