STATUS sebagai finalis Zon Asean Piala AFC nyata memberikan keyakinan kepada Kuala Lumpur City untuk memadam rekod empat kemenangan berturut-turut Negeri Sembilan FC dalam Liga Super.
Jaringan ketua pasukan Paulo Josue pada akhir babak pertama berjaya memberikan tiga mata penuh buat KL City dengan kemenangan 1-0 dalam aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
Kemenangan itu juga melonjakkan KL City ketangga kelima liga dengan 21 mata manakala Negeri Sembilan FC pula melepaskan peluang untuk menduduki tangga kedua.
Permainan rancak ditampilkan kedua-dua pasukan pada babak pertama tetapi Skuad Jang lebih banyak mengasak di babak kedua untuk mencari gol penyamaan sehingga pemain pertahanan import, Herold Goulon diarahkan bermain sebagai penyerang.
Negeri Sembilan yang terkenal sebagai pakar ‘comeback‘ musim ini dilihat begitu sukar untuk menembusi bahagian pertahanan KL City yang sangat berdisiplin ketika bertahan sekaligus menggagalkan segala percubaan lawan.
Kembalinya Kevin Mendoza di gawang KL City juga dilihat antara faktor kemenangan anak-anak buah Bojan Hodak dengan beberapa kali menyelamatkan percubaan berbahaya dari Negeri Sembilan.
Kemenangan ini pastinya memberikan tonik tambahan buat KL City sebelum menghadapi perlawanan akhir Zon Asean bertemu PSM Makassar minggu depan manakala Negeri Sembilan akan berehat panjang sebelum kembali semula ke Paroi bertemu Sarawak United pada 9 September nanti.