HAJAT Ulsan Hyundai untuk membalas dendam kekalahan di Liga Juara-Juara AFC (ACL) musim lalu ke atas Johor Darul Ta’zim (JDT) terbalas apabila mencatatkan kemenangan 3-1 dalam aksi ketiga Kumpulan I di Stadium Ulsan Munsu, Korea Selatan.

Pengendali JDT, Esteban Solari menurunkan kesebelasan terbaik untuk sekali lagi cuba mengejutkan juara Liga Korea Selatan itu namun aksi gementar pada 20 minit pertama menyaksikan Harimau Selatan seakan hilang punca.

Ketika JDT masih tercari-cari rentak di dalam cuaca yang sejuk, Ulsan Hyundai melakukan tekanan demi tekanan yang hebat hingga menjejaskan aksi Harimau Selatan dan dengan mudah dibolosi tiga jaringan seawal 18 minit pertama.

Pemain tengah Sweden, Gustav Erik Ludwigson menjadi duri dalam daging buat JDT apabila umpanannya dari sepakan penjuru menemui ketua pasukan, Jung Seunghyun yang meledak jaringan pertama untuk pada minit kelima.

Selapas itu Ludwigson terus mengganas apabila berjaya menjaringkan dua gol pada minit ke-12 dan ke-18 untuk meletakkan skuad bimbingan Hong Myung-bo itu selesa tiga gol dihadapan di saat JDT masih tercari-cari rentak.

Namun begitu, JDT seakan diberikan talian hayat apabila pertahanan Ulsan Hyundai, Kim Tae Hwan dilayangkan kad merah selepas menerima kad kuning kedua dan aksi selepas itu berubah hampir 360 darjah memihak kepada JDT dengan Arif Aiman dan Bergson masing-masing mempunyai peluang untuk merapatkan jurang namun kedudukan 3-0 kekal hingga tamat babak pertama.

Solari melakukan pertukaran dengan mengeluarkan Hong Wan dan membawa masuk Fernando Forestieri pada permulaan babak kedua dan JDT dilihat mula selesa mengawal bola dan mengambil kesempatan atas kekurangan seorang pemain lawan.

Hasilnya pada minit ke-53, ratusan penyokong JDT yang hadir ke Ulsan sedikit ceria apabila Bergson berjaya menjaringkan gol pertama JDT dan kedua peribadinya musim ini dalam ACL menewaskan penjaga gol antarabangsa Korea Selatan, Jo Hyeon-woo.

JDT terus menekan pertahanan Ulsan untuk terus mencari gol dengan membawa masuk Endrick Dos Santos untuk menambah sengat di bahagian serangan serta Feroz Baharudin bagi memantapkan lagi bahagian pertahanan.

4,813 penyokong yang hadir sedikit lega apabila sepakan percuma Fernando Forestieri tidak menepati sasaran pada minit ke-78 untuk memastikan kedudukan 3-1 kekal hingga tamat perlawanan untuk kekalahan kedua JDT musim ini.

Kekalahan ini menyaksikan JDT masih tidak dapat meraih keputusan positif di Korea Selatan dan kini jatuh ke tangga ketiga dengan tiga mata manakala Ulsan Hyundai naik ke tangga kedua dengan enam mata selepas tiga perlawanan.

Kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi untuk perlawanan keempat Kumpulan I di Stadium Sultan Ibrahim pada 7 November dan JDT perlu memperbaiki kelemahan jika ingin merampas kembali tiga mata dari Ulsan Hyundai.