BOJAN Hodak nyata gembira dengan persiapan pasukannya walaupun melakukan beberapa perubahan pada taktikal dalam aksi persahabatan pramusim menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Selasa.

Dia turut berpuas hati dengan barisan pertahanannya namun untuk barisan serangan masih banyak yang perlu diperbaiki tetapi dia tidak risau dengan corak permainan yang ditunjukkan oleh pemain importnya.

“Saya tidak boleh katakan kami telah bersedia dengan baik kerana hari ini kami bermain dengan sistem baharu bek bertiga. Saya berpuas hati dengan prestasi barisan pertahanan tetapi barisan hadapan sedikit perlahan akibat keadaan padang yang teruk.

Jurulatih KL City FC, Bojan Hodak

“Persembahan pemain import tidak perlu dirisaukan kerana mereka menunjukkan karektor yang berbeza dalam latihan dan perlawanan sebenar. Saya juga berpuas hati dengan keadaan pasukan yang lebih seimbang musim ini dengan pemain gantian yang mampu menggantikan pemain utama,” kata Hodak selepas perlawanan.

Kuala Lumpur kini mempunyai sehingga empat pemain, Tchetche Kipre, Herlison Caion serta Haqimi Azim untuk dipilih sebagai penyerang selepas dua musim bergelut tanpa penyerang tulen.

Bojan turut menjelaskan perlawanan menentang Negeri Sembilan ini adalah perlawanan pramusim kompetitif terakhir buat Kuala Lumpur City yang kini bersedia menanti kunjungan Penang FC pada 27 Februari 2023.

Dua penyerang baharu KL City, Tchetche Kipre dan Herlison Caion

Dalam perlawanan itu, kedua-dua pasukan terikat 1-1 menerusi jaringan penyamaan yang dihasilkan Zhafri Yahya lapan minit sebelum masa tamat selepas gol sendiri daripada Anwar Ibrahim meletakkan Negeri Sembilan FC berkelebihan pada awal babak kedua.