PENGENDALI Johor Darul Ta’zim II, Mariano Raul Echeverria berpuas hati apabila pasukannya berjaya mengikut jejak langkah JDT dan JDT III muncul juara liga dan ini adalah pencapaian yang penting buat kelab.

Dia juga gembira dengan kemenangan pada Jumaat dan menganggap Selangor 2 banyak memberikan mereka masalah terutama ketika mahu bergerak ke hadapan.

Mariano turut berpendapat bahawa kehadiran beberapa pemain berpengalaman dan import memberikan campuran pemain yang baik buat pasukannya dan akhirnya muncul juara terakhir Liga Premier.

“Sangat teruja dengan musim ini. Kejayaan ini adalah sangat penting buat kelab ini kerana kami berjaya mengikut jejak JDT dan JDT III yang juga bergelar juara. 2022 adalah tahun yang baik buat Johor terutamanya untuk Tunku Mahkota Johor (TMJ) serta diri saya dan keluarga.

“Perlawanan malam ini cukup sukar kerana pihak lawan bermain secara ‘low block‘ namun kami berjaya mengekalkan penguasaan bola dan mendapat jaringan. Hari ini kami menamatkan musim dan tidak ada siapa yang tahu apa yang terjadi esok.

“Pengalaman pemain senior dan import banyak membantu para pemain muda untuk membuat keputusan dalam padang dan campuran pemain ini menjadikan pasukan kami lebih baik,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

JDT II muncul juara terakhir Liga Premier apabila pertandingan ini tidak akan dipertandingkan lagi pada musim hadapan untuk memberi laluan kepada Liga Simpanan hasil keputusan pengstrukturan semula Liga Malaysia.