Kredit Gambar: Oli SCARFF/AFP

Kuartet renang lelaki Malaysia menamatkan cabaran dalam acara final 4×100 meter (m) gaya bebas Sukan Komanwel Glasgow 2026 di kedudukan ketujuh selepas beraksi di Pusat Renang Antarabangsa Tollcross, awal pagi tadi.

Barisan yang dibarisi Khiew Hoe Yean, Arvin Shaun Singh Chahal, Lim Yin Chuen dan Tan Khai Xin merekodkan masa 3 minit 24.32 saat (s), sedikit perlahan berbanding catatan yang membawa mereka ke pentas final.

Sebelum itu, kuartet negara berjaya melayakkan diri ke perlumbaan penentuan pingat apabila menamatkan aksi saringan di tangga keenam keseluruhan dengan masa 3:23.90s.

Australia muncul juara acara itu selepas memecahkan rekod temasya menerusi catatan 3:09.49s, manakala England membawa pulang pingat perak dengan masa 3:11.69s. Gangsa pula menjadi milik Afrika Selatan yang menamatkan perlumbaan dalam masa 3:13.99s.

Walaupun gagal mencabar kedudukan podium, pencapaian skuad negara masih belum mengatasi rekod kebangsaan 3:20.61s yang dicipta oleh Hoe Yean, Arvin Shaun, Yin Chuen dan Terence Ng ketika Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, Kemboja.

Cabaran Malaysia dalam acara renang diteruskan hari ini apabila Yin Chuen dan Arvin Shaun bakal beraksi dalam acara 50m gaya bebas lelaki, manakala Hoe Yean bersama Khai Xin akan turun bersaing dalam acara 400m gaya bebas lelaki.