MALAYSIA bakal membariskan tiga pelumba basikal trek di Sukan Olimpik Paris 2024, Julai hadapan selepas pelumba pecut wanita, Nurul Izzah Izzati menunjukkan prestasi yang baik pada perlumbaan terakhir Kejohanan Trek Piala Negara-Negara, di Milton Kanada.
Pemangku Timbalan Presiden Persekutuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill berkata, kemaskini ranking pelumba basikal dunia akan dimuat naik di laman sesawang Persekutuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) tengah malam ini, selepas Piala Negara-Negara di Milton yang menjadi pusingan kelayakan mata ke Olimpik Paris terakhir, melabuhkan tirainya awal pagi tadi.

Kemampuan Nurul Izzah Izzati menamatkan perlumbaan keirin di kedudukan kelapan pada Kejohanan Piala Negara-Negara, di Milton, Kanada cukup untuk menempatkan dirinya ke Paris. |FOTO FB Nurul Izzah Izzati
“Nurul Izzah beraksi cemerlang di Milton, Kanada, menamatkan saingan di pusingan kedua acara pecut dan menduduki tempat kelapan perlumbaan keirin.
“Di situ, dia memperoleh banyak mata dan secara tidak rasmi, dia layak ke Paris, mengiringi Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom,” kata Amarjit, ketika dihubungi.
Justeru, Amarjit berkata, Nurul Izzah bakal menjadi pelumba basikal trek wanita kedua negara beraksi di Temasya Olimpik, selepas Fatehah Mustapa yang beraksi dalam acara pecut di Temasya Rio 2016.

Nurul Izzah Izzati Mohd Asri mempamer prestasi cemerlang, meraih dua emas di ACC 2024, New Delhi, Februari lalu.
Menurut beliau, sebagaimana Azizulhasni dan Muhammad Shah Firdaus, Nurul Izzah juga melayakkan diri dalam dua acara iaitu pecut dan keirin.
Nurul Izzah turut mencipta sensasi apabila memenangi dua pingat emas dalam acara keirin dan 500 meter (m) ujian masa di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2024 di New Delhi, India, Februari lalu.
“Begitupun, kita perlu menunggu pengumuman rasmi daripada UCI. Tengah malam ini, UCI akan mengemaskini ranking pelumba di laman web mereka.
“Sementara itu, UCI akan mula memberitahu persatuan negara anggota (NOC) mengenai atlet yang layak ke Paris pada 22 April ini,” tambah Amarjit.

Nurul Izzah Izzati Mohd Asri menang emas acara pecut Kejohanan Trek Piala Antarabangsa Hong Kong I, tahun lalu.
Bagi acara pecut dan keirin, seramai 30 atlet akan bertanding di temasya Paris kali ini.
Berdasarkan ranking yang dikemaskini pada 9 April lalu, Nurul Izzah berada di ranking ke-21 dunia bagi acara pecut dan keirin.
Azizulhasni dan Shah Firdaus pula masing-masing berada di ranking ke-11 dan 14 acara pecut, manakala bagi acara keirin, kesembilan dan 29.