Kredit Gambar: MSN Malaysia
Pemain boling padang negara, Izzat Shameer Dzulkeple meneruskan rentak cemerlang dalam saingan perseorangan lelaki Sukan Komanwel Glasgow 2026 apabila meraih kemenangan kedua berturut-turut dalam Kumpulan D sekali gus mengukuhkan peluang ke peringkat separuh akhir.
Selepas memulakan kempen dengan kemenangan pada aksi pembukaan, Izzat sekali lagi mempamerkan aksi meyakinkan apabila menewaskan wakil Malta, Shaun Parnis 1.5-0.5 di Scottish Event Campus (SEC) Centre.
Kemenangan itu meletakkan atlet berusia 44 tahun yang membuat penampilan kedua di pentas Sukan Komanwel itu dalam kedudukan baik untuk memburu slot ke kelompok empat terbaik.
Izzat dijadual meneruskan cabaran menentang pemain India, Putul Sonowal, sebelum berdepan wakil Kenya, Anwar Hamada pada Ahad dan menutup saingan peringkat kumpulan bertemu Ryan Bester dari Kanada, Isnin ini.
Dalam saingan lain, gandingan wanita negara, Aleena Ahmad Nawawi dan Syafiqa Haidar Afif Abdul Rahman turut mengekalkan rekod kemenangan selepas menewaskan dua lawan dalam aksi Kumpulan D.
Pasangan negara terlebih dahulu menewaskan Sharon Barnes dan Kristiane Thorsen dari Kepulauan Falkland 2-0 sebelum meneruskan kecemerlangan dengan kemenangan 2-0 ke atas wakil Jersey, Sara Douglas dan Fiona Archibald.
Aleena dan Syafiqa akan meneruskan cabaran menentang pasangan Kepulauan Cook, Fa’Amanatu Vasie Ngatoko-Poila dan Teokotai Rahui Jim, sebelum berdepan gandingan Scotland, Beth Riva-Caroline Brown pada Ahad serta wakil Kepulauan Norfolk, Ellie Dixon-Christine Jones pada Isnin.
Hanya juara setiap kumpulan akan mara ke peringkat separuh akhir.
Skuad boling padang Malaysia membawa sasaran untuk meraih sekurang-kurangnya dua pingat pada temasya Sukan Komanwel Glasgow 2026 tanpa mengira warna pingat.