PEMANDU kereta kebal Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Muhammad Zahin Wahhi mencipta sensasi apabila muncul juara peringkat keenam Jelajah MPTC Tour of Luzon, Filipina, hari ini.

Pelumba berusia 25 tahun dari pasukan Malaysia Pro Cycling (MPC) itu, menewaskan dua pelumba tuan rumah dalam pecutan penamat selepas mengharungi laluan sejauh 168 kilometer dari Clark ke Lingayen dengan catatan masa 3 jam 31 minit 12 saat.

FOTO / FB MPTC Tour of Luzon 2025

Zahin yang menyertai kumpulan pemecah 80km sebelum penamat, melancarkan serangan 200 meter terakhir untuk meninggalkan lawannya, Mervin Corpuz (MPT Drive Hub) dan Rench Michael Bondoc (7Eleven Cliqq) di belakang.

“Ia satu keputusan positif dalam perlumbaan pertama kami musim ini. Zahin bijak mengatur langkah dan hasilnya dia berjaya dapatkan kemenangan,” kata pengurus pasukan MPC, Sayuti Zahit ketika dihubungi.

FOTO / FB MPTC Tour of Luzon 2025

Zahin yang bertugas sebagai pemandu kereta kebal sejak 2018, sebelum ini pernah menyuarakan impian beraksi di Le Tour de Langkawi dan menjadikan setiap perlumbaan sebagai medan membuktikan kemampuannya.

MPC sebelum ini meraih podium menerusi Ahmad Syazrin Awang Ilah yang menamatkan peringkat ketiga di tempat kedua Sabtu lalu, dan kini bersiap sedia untuk beraksi dalam perlumbaan ujian masa berpasukan esok.

FOTO / FB MPTC Tour of Luzon 2025

Pasukan benua itu dijadual menyertai beberapa perlumbaan di China sebagai persiapan menghadapi Le Tour de Langkawi hujung September dan Sukan SEA Bangkok hujung tahun ini.