BEKAS Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Subkhiddin Mohd Salleh tampil menyuarakan pandangan kritikal dan mendalam terhadap mutu pengadilan yang hangat dipersoalkan susulan perlawanan akhir baru-baru ini, sambil menekankan bahawa sudah tiba masanya Jabatan Pengadil berubah dengan pendekatan lebih manusiawi dan proaktif.
Menurut Subkhiddin, prestasi pengadil sentiasa akan dilihat dari pelbagai sudut – sama ada oleh penyokong, pemain, pegawai atau sesama pengadil sendiri – namun semua itu datang daripada perspektif dan pengalaman masing-masing.
Baginya, dalam dunia bola sepak moden yang terbuka dan penuh emosi, pengadil perlu memahami bahawa tugas mereka bukan sekadar meniup wisel dan melayangkan kad, tetapi menjadi ‘pengurus suasana’ di atas padang.
“Sebagai pengadil, kita bukan tunggu kesilapan berlaku baru bertindak. Kita perlu faham emosi pemain, suasana perlawanan, provokasi yang berlaku dan politik dalam padang.
“Kalau kita hanya bawa buku undang-undang ke padang tanpa faham semangat undang-undang itu sendiri, maka kita gagal,” ujarnya kepada Flash Sukan.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Subkhiddin Mohd Salleh
Beliau turut memberi contoh bagaimana sesetengah kad kuning atau merah sepatutnya dilihat dalam konteks taktikal atau emosi, bukan semata-mata pelanggaran literal.
Tambahnya, tidak semua sentuhan itu ganas, kadang-kadang hanya tindak balas spontan akibat provokasi, dan tugas pengadil ialah untuk membaca keadaan dan mengawal sebelum situasi jadi lebih panas.
“Undang-undang itu panduan, bukan arahan mutlak. Kita semua baca buku yang sama.
“Pengadil kena jadi bijak, bukan kaku,” katanya lagi.
Subkhiddin juga menegaskan bahawa padang bola bukanlah mahkamah untuk menjatuhkan hukuman, tetapi ruang untuk pemain beraksi dengan selamat, adil dan menghiburkan.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Subkhiddin Mohd Salleh
Jika pengadil gagal mencipta suasana itu, maka mereka bukan sahaja mengecewakan pemain, tetapi juga penonton yang datang untuk menikmati perlawanan.
Mengakhiri sesi, beliau menekankan pentingnya Jabatan Pengadil Malaysia mengubah pendekatan dan melahirkan pengadil yang bukan hanya mahir teknikal, tetapi juga matang dari segi emosi dan pemahaman sosial terhadap bola sepak itu sendiri.
“Kalau kita nak lahirkan pengadil bertaraf dunia, kita kena faham bahawa bola sepak bukan hitam putih.
“Ia dunia yang penuh warna dan emosi – dan pengadil mesti cukup cerdas untuk membaca semuanya dalam masa nyata,” tegasnya.