Kredit Foto – Facebook Terengganu FC

TERENGGANU FC (TFC) masih dalam usaha mendapatkan status kerakyatan Malaysia kepada pertahanan importnya, Argzim Redzovic untuk didaftarkan sebagai pemain tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif TFC, Ab. Rasid Jusoh, berkata, proses naturalisasi pemain kelahiran Montenegro itu sedang dilakukan selepas Redzovic, 30, memenuhi syarat bergelar warganegara.

“Perkara ini kami sudah bawa ke Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk penilaian. Namun saya jangka proses naturalisasi Redzovic mungkin akan mengambil sedikit masa lagi.

“Apapun dia (Redzovic) sudah layak setelah menetap di negara ini selama lima tahun dan sudah berkahwin dengan rakyat tempatan.

“Jadi kami harap ianya memberi kelebihan kepada TFC untuk dia (Redzovic) diberikan taraf warganegara seterusnya didaftarkan sebagai pemain tempatan,” jelasnya kepada FLASH SUKAN.

Untuk rekod, Redzovic memulakan karier dalam Liga Malaysia bersama PDRM FC pada 2018 selama dua musim sebelum menyertai TFC pada penghujung tahun 2020.

Walaupun beraksi untuk skuad Liga Premier, Redzovic merupakan tonggak utama pasukan berstatus ‘feeder’ itu dan membantu TFC II menamatkan saingan liga di kedudukan keempat musim lalu.