PENYERANG lincah pasukan kebangsaan, Mohamad Faisal Abdul Halim menyalakan obor perjuangan Harimau Malaya dengan menyifatkan inilah pengorbanan seorang pemain bola sepak yang terpaksa mengorbankan cuti demi menyahut panggilan bersama skuad kebangsaan.
Tatkala ramai pemain yang masih menikmati cuti apabila kalendar Liga Malaysia tamat, watak-watak inilah merupakan nadi kepada semangat sebenar Harimau Malaya dalam aksi menentang Singapura malam esok.
“Sudah sebulan lebih kita bersama, kita tiada cuti. Kita sambut tahun baru bersama. Inilah pengorbanan yang sukar sebenarnya tetapi kita sebagai pemain bola sepak, kita dilahirkan sebagai pemain bola sepak.
“Inilah kerja kita, tanggungjawab kita untuk negara mahupun kelab. Saya bersedia untuk bermain,” katanya dalam sidang media pra-perlawanan menentang Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Isnin.
Meskipun ramai yang hairan Singapura mampu menyekat kemaraan Vietnam dengan mengutip satu mata apabila bermain secara bertahan, namun penyerang cilik itu menyatakan bermain secara bertahan sepanjang perlawanan adalah sesuatu yang merugikan Harimau Malaya untuk jangka masa yang panjang.
“Kita boleh bermain secara bertahan selama 90 minit seperti pasukan lain. Adakah pada masa hadapan kita akan berjaya, bolehkah kita bersaing dengan pasukan yang lebih baik daripada kita?,” ujarnya.

Faisal (kiri) ketika beraksi menentang Turkmenistan di kelayakan Piala Asia 2023.
Mengambil contoh terdekat ketika berdepan Turkmenistan, biarpun skuad negara turun sebagai underdog namun, pasukan kebangsaan turun dengan nafsu yang membuak-buak untuk menyerang dan hasilnya Malaysia layak ke Piala Asia 2023.
“Saya ambil contoh kita bertemu dengan Turkmenistan, kita tahu level Turkmenistan. Kualiti pemain yang mereka ada berbanding pasukan kebangsaan. Kita keluar untuk menyerang , kita tukar kiri dan kanan. Ketika berlawan Turkmenistan kita berjaya lakukan. Kita turun menyerang dan kita menang,” jelasnya.
Selepas aksi bertemu Vietnam tempoh hari, semua pemain jelas berasa agak sugul, namun menjelang pertemuan bertemu Singapura esok , semua pemain dilihat bersedia menjinakkan The Lions.
“Selepas kita pulang dari Vietnam, rakan kami agak down, dan staf kejurulatihan nampak perkara tersebut. Namun selepas dua hari, rakan-rakan telah mendapat mood yang baik. Semua bersemangat menentang Singapura esok,” dedahnya.

Menjelang aksi terakhir peringkat Kumpulan B, Faisal Halim menganggap perlawanan malam esok adalah satu perhitungan paling penting bagi pasukan Harimau Malaya bukan sahaja untuk melayakkan skuad tersebut ke peringkat separuh akhir malah sebagai hadiah Sambutan Tahun Baru 2023 kepada penyokong Harimau Malaya.
“Apa yang saya katakan kepada rakan-rakan, esok adalah perlawanan penting bagi kami. Kita bermain sebagai tuan rumah. Kita tidak boleh kalah. Keluarga kita datang, rakyat Malaysia datang. Takkan kita mudah hendak memberi orang lain mengambil rumah kita,” kongsinya.