SELEPAS Kedah Darul Aman FC mengumumkan pada Jumaat melepaskan hampir sebahagian besar pemain untuk musim hadapan, pasukan jiran dan juga musuh tradisi, Penang FC juga mengambil langkah yang sama.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh laman sosial rasmi kelab, Penang FC mengucapkan terima kasih kepada 13 pemain yang dilepaskan selepas bersama kelab itu menghadapi musim 2022 yang penuh berliku.

“Penang FC ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Hafizul Hakim, Rafiuddin Roddin, Thivendaran, Gopi Rizqi, Tam Sheang Tsung, Azim Rahim, Jafri Firdaus Chew, Faizal Talib, Shukri Hamid, Azzizan Nordin, Ariff Ar-Rasyid, Syazwan Zaipol dan Daniel Ashraf yang bersama pasukan Penang FC sepanjang musim 2022.

“Ahli lembaga pengarah Penang FC telah memutuskan untuk membawa haluan baharu pasukan Harimau Kumbang bagi musim 2023 dan khidmat pemain-pemain ini tidak akan diperbaharui. Semoga berjaya di masa hadapan,” tulis kenyataan itu.

Selain dari 13 pemain tempatan ini, Penang FC turut melepaskan empat pemain import mereka, Endrick Dos Santos, Casagrande, Lucas Espindola dan Christian Rontini dari senarai pemain untuk saingan musim hadapan.

 

Penang FC nyata bergelut dalam aksi Liga Super musim ini apabila menduduki tempat tercorot dengan 11 mata hasil dua kemenangan dan lima keputusan seri namun terselamat dari relegasi selepas MFL mengumumkan pengstrukturan baharu Liga Super untuk musim 2023.

Bagaimanapun Penang FC cemerlang di Kejohanan Piala FA apabila berjaya sampai ke peringkat separuh akhir sebelum tewas kepada Johor Darul Ta’zim dan terkandas di pusingan 16 terbaik dalam Piala Malaysia selepas tewas kepada Kuching City FC.

Skuad Harimau Kumbang ini juga dijangkakan bakal melakukan beberapa lagi rombakan besar terutama melibatkan pemilihan barisan kejurulatihan dan pemain import bagi memastikan terus kompetitif menghadapi cabaran musim akan datang.