PELEDAK magis Negeri Sembilan FC, Sean Eugene Selvaraj mengakui ada menerima beberapa tawaran dari kelab lain namun enggan mendedahkan kelab yang memancingnya pada ketika ini.

Fokusnya pada masa kini adalah ingin mengekalkan kecergasannya terlebih dahulu sebelum membuat keputusan berkelana ke mana-mana kelab lain.

“Ya benar. Saya ada terima beberapa tawaran dari kelab namun belum masanya untuk saya memberitahu umum.

“Sasaran paling utama saya adalah untuk kekal cergas seperti sediakala. Kelab memerlukan seorang pemain yang cergas dan bersedia, jadi langkah pertama saya adalah untuk mengembalikan kecergasan saya. Kemudian saya akan tentukan hala tuju saya ke pasukan mana,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.

Sementara itu, Sean berkongsi detik paling tidak dapat dilupakan sepanjang musim 2022 adalah ketika berjaya membuat jaringan kelas dunia apabila berjaya melakukan comeback luar biasa dengan kemenangan 3-2 ke atas Selangor FC meskipun pada suatu ketika Negeri Sembilan FC sudah jauh ketinggalan 0-2.

“Momen yang tidak dapat dilupakan sudah tentu ketika bersama Selangor FC. Ia adalah satu gol yang diraikan seluruh pasukan dan saya tidak dapat melupakan saat itu,” jelasnya .

Sean sebelum ini mengalami kecederaan ‘meniscus tear‘ di bahagian lutut kirinya dan telah selesai menjalani pembedahan melalui kaedah scope.

Kini, dia sedang menjalani fasa pemulihan selama enam minggu sebelum dibenarkan turun berlatih dan beraksi seperti sediakala.

ARTIKEL BERKAITAN : Gol Sean Selvaraj undang perhatian Fifa.com, berpeluang tercalon Anugerah Puskas