LE Tour de Langkawi (LTDL) dijangka dikelolakan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi memperkukuh peranan acara itu sebagai produk pelancongan bertaraf dunia.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berkata, pihaknya kini sedang menyelaras bersama Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tiong King Sing, bagi menentukan kementerian paling sesuai menguruskan kejohanan berprestij itu.

“LTDL adalah produk sukan dan juga produk pelancongan, sebab itu kami sedang teliti sama ada ia kekal bawah MSN atau diserahkan kepada Tourism Malaysia,” katanya pada Kem Klinik STL 2025.

Semalam, Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Dato’ Amarjit Singh Gill mengumumkan, Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) mengekalkan status Pro Series kepada LTDL untuk tempoh tiga tahun (2026-2028).

Menurut Hannah, MOTAC menyokong penuh penganjuran LTDL kerana siarannya ke negara Eropah telah mempromosikan imej Malaysia sebagai destinasi pelancongan antarabangsa.

Beliau menjelaskan hasrat KBS adalah untuk membolehkan Majlis Sukan Negara (MSN) fokus sepenuhnya kepada atlet podium dan sukan berprestasi tinggi, tanpa terbeban dengan urusan penganjuran acara: “Sekarang MSN buat terlalu banyak, pembangunan, NFDP, acara… jadi kita nak streamline semula fungsi supaya mereka fokus kepada prestasi,” katanya.

Tambah Hannah, soal bajet bukan isu kerana sekiranya LTDL diletakkan bawah MOTAC, dana boleh disalurkan melalui usahasama antara kementerian.

“Sekarang kita sedang sediakan kertas cadangan akhir dan tunggu sokongan Kementerian Kewangan… semua pelaburan kini mesti disokong data dan hasil, zaman kerajaan belanja duit sesuka hati dah berakhir,” tegasnya.