KETUA jurulatih Harimau Malaya, Peter Clamovski menegaskan pasukannya enggan terganggu dengan kekecohan luar padang susulan hukuman FIFA terhadap pemain warisan Malaysia, sebaliknya mahu menumpukan sepenuhnya kepada aksi penting menentang Laos dalam Kelayakan Piala Asia 2027 di Vientiane malam esok.
Clamovski berkata, isu melibatkan siasatan dan hukuman terhadap pemain berstatus warisan itu berada di luar kawalan pasukan, dan tiada sebab untuk ia menjejaskan fokus pemain ketika ini.
“Ya, ia sesuatu yang langsung berada di luar kawalan kami. Kami tidak fokus pada apa-apa di luar kem. Saya faham memang ada banyak perkara yang berlaku sekarang, tetapi ia bukan urusan kami,” katanya dalam sidang media pra-perlawanan hari ini.
Menurutnya, Harimau Malaya kini menumpukan sepenuhnya kepada persiapan menentang Laos, dengan memastikan aspek taktikal dan mental pasukan berada pada tahap terbaik menjelang perlawanan penting itu.
“Kami fokus untuk melakukan perjalanan dan persiapan dengan baik. Jika kami memikirkan perkara lain selain prestasi pasukan, kami tidak menghormati perlawanan ini. Kami mempunyai mentaliti pasukan yang kuat — bekerja keras untuk satu sama lain dan terus membina bola sepak Malaysia,” jelasnya.
Jurulatih kelahiran Australia itu turut menyatakan hasrat untuk melihat skuad kendaliannya memberi inspirasi kepada penyokong di tanah air menerusi corak permainan yang bersemangat dan positif.
“Kami mahu memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia dengan cara kami bermain — memberi mereka harapan dan keyakinan bahawa kami boleh lakukan sesuatu yang istimewa,” katanya lagi.
Clamovski menegaskan tumpuan pasukan kini sepenuhnya kepada bola sepak — memastikan sesi latihan berjalan sempurna dan segala persediaan di luar padang dilakukan sebaik mungkin menjelang aksi di Stadium Nasional Laos esok.
“Kami sudah bersedia dan hari ini adalah hari penting untuk kami laksanakan segala persiapan dengan betul di dalam dan luar padang,” katanya menutup bicara.