ROMELU Lukaku menjaringkan gol pada penampilan sulungnya untuk Napoli dan membantu skuad kendalian Antonio Conte bangkit menewaskan Parma.

Lukaku melengkapkan perpindahan dari Chelsea ke Napoli pada Khamis lalu, selepas dua musim dipinjamkan ke kelab Serie A, Inter Milan dan Roma.

Pemain Belgium itu bergabung kembali dengan bekas pengendalinya di Inter, Conte dan dia segera memberikan impak bersama kelab baharunya.

Lukaku, 31, bermula di bangku simpanan ketika aksi menentang Parma yang kembali ke Serie A musim ini.

Parma mengejutkan tuan rumah apabila mendahului permainan menerusi penalti minit ke-19 Ange-Yoan Bonny.

Pelawat berpeluang menambah jaringan dengan beberapa peluang selepas itu, tetapi Napoli tampil lebih tajam di babak kedua sebaik Lukaku dimasukkan.

Rentak Parma terganggu apabila penjaga golnya, Zion Suzuki dilayangkan kad kuning kedua kerana mengasari David Neres, dan pemain pertahanan, Enrico Del Prato terpaksa menjaga gawang selepas tiada lagi pertukaran buat mereka.

Napoli menyangka mereka mendapat sepakan penalti selepas Giovanni Simeone dikasari, namun VAR mengubah keputusan pengadil pada minit ke-90 itu.

Dua minit kemudian, Lukaku menyamakan kedudukan hasil hantaran Leonardo Spinazolla sebelum tandukan Andre Zambo Anguissa memastikan kemenangan pada minit ke-96.

“Ia satu penghargaan dapat bermain untuk kelab ini, penyokong dan pemain-pemain mereka, yang mengalu-alukan kedatangan saya.

“Kami bekerja keras dan usaha kami ketika latihan membuahkan hasil. Saya sudah biasa menjaringkan gol pada penampilan pertama, tetapi kemenangan kami yang paling penting.

“Saya sangat gembira, kini kami perlu bekerja lebih keras dan terus menang,” kata Lukaku, bekas pemain AS Roma dan Chelsea.

Skuad kendalian Conte melonjak ke tangga keempat liga selepas merakam kemenangan kedua musim ini.