CRISTIANO Ronaldo terus menambah babak baharu dalam kisah legendanya apabila meledak gol ke-959 dalam kerjaya profesional selepas menjaringkan gol menentang Al Hilal pada aksi minggu ke-14 Liga Profesional Saudi, awal pagi tadi.
Penyerang Al Nassr itu membuka tirai jaringan pada minit ke-42 menerusi sentuhan penyudah tenang hasil gerakan berpasukan yang kemas, dengan Kingsley Coman mencipta bantuan, sekali gus mencetuskan sorakan penyokong dalam perlawanan derbi paling berprestij di Arab Saudi.
Walaupun Al Nassr gagal mempertahankan kelebihan apabila Al Hilal bangkit dengan tiga gol pada separuh masa kedua menerusi Al Dawsari, Kannon dan Ruben Neves untuk mencatat kemenangan 3-1, tumpuan utama tetap terarah kepada pencapaian peribadi Ronaldo yang terus mengukuhkan statusnya sebagai antara penjaring terhebat dunia.
Gol itu menjadikan jumlah jaringan Ronaldo kini mencecah 817 gol di peringkat kelab dan 142 bersama pasukan kebangsaan Portugal, satu bukti ketahanan fizikal dan konsistensi luar biasa meskipun berada di penghujung kerjaya.