SKUAD bola sepak wanita negara mempamerkan semangat juang tinggi apabila hampir melakar keputusan mengejut ke atas Jordan sebelum tewas 4-3 dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Raja Abdullah, awal pagi tadi.

Berdepan pasukan yang menghuni ranking ke-72 dunia, Malayan Tigress tampil cemerlang terutama pada babak pertama apabila berjaya mendahului tuan rumah 3-1 hasil persembahan bertenaga daripada jentera serangan negara.

Jordan terlebih dahulu membuka tirai jaringan seawal minit ketujuh menerusi Marah Tayeh yang mengambil kesempatan daripada situasi kelam-kabut di dalam kotak penalti selepas sepakan sudut.

Namun, anak buah Joel Cornelli tidak mengambil masa lama untuk bangkit apabila Nur Ainsyah Murad meledak gol penyamaan menerusi rembatan jarak jauh yang menewaskan penjaga gol Jordan, Malk Shannak pada minit ke-18.

Malaysia terus menekan dan usaha itu membuahkan hasil apabila Najwa Irdina muncul watak utama dengan dua jaringan sebelum tamat separuh masa pertama bagi meletakkan skuad negara selesa mendahului 3-1.

Ketinggalan dua gol memaksa Jordan meningkatkan tempo permainan selepas rehat dan tindakan itu berhasil apabila kapten pasukan, Maysa Jebarah menjaringkan dua gol untuk mengembalikan kedudukan seimbang.

Ketika perlawanan dilihat bakal berakhir tanpa pemenang, pemain gantian Roukayah Alfarajeh muncul pemusnah harapan Malaysia apabila menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan sekali gus memastikan Jordan meraih kemenangan 4-3.

Walaupun pulang tanpa keputusan positif, persembahan dipamerkan Malayan Tigress terutama pada separuh masa pertama memberi petanda baik menjelang aksi seterusnya menentang Palestin pada 6 Jun di Stadium Petra.