KONGRES Luar Biasa (EGM) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini melakar satu lagi detik penting dalam landskap bola sepak negara apabila semua 18 ahli gabungan bersetuju meluluskan pindaan Statut FAM yang dicadangkan oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
Keputusan itu dicapai secara sebulat suara selepas sesi perbahasan yang berlangsung sepanjang pagi dengan beberapa perwakilan mengambil peluang mendapatkan penjelasan lanjut mengenai beberapa peruntukan baharu yang terkandung dalam draf statut berkenaan.
Kongres tersebut dipengerusikan Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John, manakala Timbalan Setiausaha Agung AFC, Vahid Kardany turut memainkan peranan penting dalam memberikan penerangan terperinci kepada perwakilan berhubung cadangan perubahan yang dibentangkan.
Selain statut baharu, kongres turut meluluskan Kod Elektoral serta Peraturan Organisasi FAM yang akan menjadi asas kepada struktur pentadbiran dan proses pilihan raya badan induk bola sepak negara itu pada masa akan datang.
Pindaan yang diluluskan itu merupakan hasil audit tadbir urus dan pengurusan yang dijalankan AFC terhadap FAM sejak beberapa bulan lalu dengan matlamat memperkukuhkan struktur organisasi mengikut amalan terbaik yang diguna pakai badan bola sepak antarabangsa.
Antara perubahan utama yang bakal diperkenalkan ialah penyusunan semula barisan kepimpinan FAM, termasuk pemansuhan jawatan Timbalan Presiden dan pengenalan tiga jawatan Naib Presiden dalam struktur baharu.
Draf statut yang mengandungi 94 artikel itu turut membuka ruang lebih luas kepada pemegang taruh bola sepak untuk terlibat secara langsung dalam proses pentadbiran badan induk berkenaan.
Menerusi pindaan tersebut, kelab-kelab Liga Super akan menjadi ahli gabungan FAM secara automatik dan diberikan hak mengundi dalam Kongres, tertakluk kepada syarat mereka beroperasi sebagai entiti yang bebas daripada persatuan bola sepak negeri.
Selain wakil Liga Super, keahlian turut diperluaskan kepada wakil daripada Liga Bolasepak Amatur (AFL), Liga Nasional Wanita, Liga Futsal Premier Malaysia serta badan berkepentingan lain termasuk Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM) dan Persatuan Pengadil.
Struktur baharu itu juga menyaksikan tujuh kerusi Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) diperuntukkan mengikut kategori tertentu, termasuk wakil persatuan negeri, kelab, wanita dan kumpulan pakar yang terdiri daripada jurulatih, pemain serta pengadil.
Kelulusan sebulat suara tersebut dilihat sebagai langkah penting ke arah memperkukuhkan tadbir urus FAM dan menyelaraskan pentadbiran bola sepak Malaysia dengan standard yang diamalkan di peringkat AFC serta FIFA.