Pengendali Perancis, Didier Deschamps memberi jaminan bahawa William Saliba berada dalam keadaan baik meskipun timbul spekulasi mengenai kecederaan belakang yang dikatakan boleh menjejaskan penyertaannya pada Piala Dunia 2026.

Pertahanan Arsenal itu baru sahaja menyertai kem latihan Les Bleus selepas membantu kelabnya beraksi dalam final Liga Juara-Juara hujung minggu lalu dan kini sedang menjalani persiapan bersama skuad kebangsaan menjelang kejohanan terbesar bola sepak dunia itu.

Menurut Deschamps, keadaan Saliba tidak membimbangkan dan pemain berusia 25 tahun itu mampu diturunkan jika diperlukan dalam aksi persahabatan menentang Ivory Coast.

“William berada dalam keadaan baik dan kami akan menguruskan minit permainannya dengan sewajarnya. Jika dia perlu bermain, dia bersedia untuk beraksi,” katanya.

Perancis dijadual mengharungi dua aksi pemanas badan sebelum memulakan kempen Piala Dunia, dengan Deschamps dijangka melakukan penggiliran pemain bagi memastikan kesemua anggota skuad berada pada tahap kecergasan terbaik.

Jurulatih berusia 57 tahun itu turut memaklumkan beberapa pemain Paris Saint-Germain akan dipantau rapi selepas mengharungi musim yang panjang termasuk kejayaan menjulang Liga Juara-Juara baru-baru ini.

Antara pemain yang diberikan perhatian khas ialah Ousmane Dembele dan Desire Doue yang memainkan peranan penting dalam kejayaan kelab Paris itu di pentas Eropah.

Dalam perkembangan sama, Deschamps turut mempertahankan kapten pasukan, Kylian Mbappe yang menjadi perhatian susulan musim mencabar bersama Real Madrid.

Walaupun gagal menambah koleksi trofi utama bersama kelab Sepanyol itu, Deschamps menegaskan Mbappe tetap menunjukkan komitmen penuh sepanjang kem latihan skuad kebangsaan.

“Apa yang berlaku di kelab adalah urusan kelab. Apabila bersama pasukan kebangsaan, dia sentiasa memberikan sepenuh komitmen dan menunjukkan sikap profesional yang tinggi,” katanya.

Tambah Deschamps, pengalaman luas yang dimiliki Mbappe bakal menjadi aset penting buat Perancis dalam misi memburu kejuaraan dunia apabila kejohanan itu membuka tirainya bulan ini.