JUARA 8 kali Liga Perdana Inggeris, Manchester City, secara rasmi mengumumkan pembelian pemain tengah Nottingham Forest, Elliot Anderson, dengan nilai yuran perpindahan yang memecahkan rekod kelab dan rekod British iaitu £116 juta.

Perpindahan ini juga memecahkan rekod perpindahan Manchester City yang sebelum ini dipegang oleh Jack Grealish dari Aston Villa dengan nilai £100 juta.

Manakala rekod British sebelum ini ditakhta oleh Jude Bellingham pada tahun 2023 susulan perpindahan ke Real Madrid dengan nilai £115 juta.

Menurut kenyataan media kelab, Manchester City mengesahkan telah mencapai persetujuan dengan Nottingham Forest bagi perpindahan Elliot Anderson.

“Anderson, 23, yang kini sedang beraksi bersama England di Piala Dunia FIFA telah menjalani pemeriksaan perubatan di Kansas.

“Urusan rasmi perpindahannya akan dimuktamadkan sebaik sahaja beliau kembali ke England,” menurut kenyataan media Manchester City.

Perpindahan ini merupakan pembelian pertama dalam era baharu Manchester City susulan pemergian pengurus legenda kelab, Pep Guardiola.

Kehadiran Anderson juga menjadi impak besar kedua buat kelab selepas pengumuman rasmi pelantikan pengurus baharu, Enzo Maresca, baru-baru ini, sekali gus menandakan permulaan revolusi taktikal yang baharu di Etihad Stadium.

Bagi Nottingham Forest, kehilangan Anderson merupakan tamparan hebat selepas memainkan peranan yang sangat penting dalam memastikan kelab terus bernyawa di Liga Perdana Inggeris.

Bagaimanapun, tawaran bernilai £116 juta ini adalah satu nilai yang mustahil untuk ditolak dalam sudut perniagaan.

Kredit Gambar – Justin Setterfield / Getty Images North America / Getty Images Via AFP