IMPIAN Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai untuk menamatkan Masters China 2026 dengan gelaran terpaksa dilupakan apabila gandingan negara itu terkandas di separuh akhir selepas tewas kepada pasangan nombor satu dunia, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping di Arena Shenzhen, hari ini.
Soon Huat-Shevon yang juga pilihan kelapan kejohanan gagal mengatasi keampuhan wakil tuan rumah apabila tewas 11-21, 21-23 dalam pertarungan yang berlangsung selama dua set.
Selepas ketinggalan pada set pertama, gandingan negara tampil lebih agresif pada set kedua dan berjaya memberi tekanan kepada Feng-Huang sebelum pasangan China itu mempamerkan ketenangan ketika mata-mata kritikal untuk mengesahkan kemenangan.
Kekalahan itu menyaksikan Soon Huat-Shevon gagal menempah pertemuan dengan rakan senegara, Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing, yang terlebih dahulu mara ke final selepas menewaskan pasangan China, Zhu Yi Jun-Li Qian, 21-12, 21-10.
Pang Ron-Pei Jing yang baru digandingkan sejak Mac lalu kini melangkah ke final Jelajah Dunia pertama mereka bersama dan akan berdepan Feng-Huang, sekali gus memastikan Malaysia mempunyai wakil di pentas akhir.
Bagi Soon Huat-Shevon, kemaraan ke separuh akhir tetap memberi sinar positif selepas melalui tempoh sukar untuk kembali ke prestasi terbaik, termasuk menyingkirkan pasangan tuan rumah, Gao Jia Xuan-Wu Meng Ying, pada suku akhir.