KEKALAHAN skuad badminton wanita negara bagai sudah dijangka apabila mereka tersingkir di suku akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2026 selepas tunduk kepada Korea Selatan yang berada di kelas tersendiri.

Turun selaku pilihan kedua kejohanan, Korea Selatan tidak berdepan masalah untuk menundukkan Malaysia 3-0 dalam perlawanan di Pusat Sukan Qingdao, China, hari ini.

Pengarah Kejurulatihan Perseorangan BAM, Kenneth Jonassen mengakui jurang kualiti antara kedua-dua pasukan terlalu besar, apatah lagi skuad negara dibarisi pemain muda yang masih mentah di pentas tertinggi.

Kehadiran An Se Young menambah “kekebalan” skuad Korea Selatan. | FOTO Badminton Asia

“Sejujurnya kami sudah tahu siapa yang bakal dihadapi dan keputusan hari ini membuktikan mereka pasukan lebih baik, kami sudah berikan segalanya,” kata Jonassen.

Menurutnya, Korea Selatan bukan sahaja lebih konsisten, malah memiliki pemain bertaraf dunia yang sukar ditandingi dari segi tempo dan ketahanan mental.

Carmen Ting-Ong Xin Yee gagal menandingi pengalaman beregu Korea, Baek Ha Na-Kim Hye Jeong. | FOTO Badminton Asia

Dalam perlawanan pembukaan, K Letshanaa gagal menghalang dominasi pemain nombor satu dunia, An Se Young sebelum tewas straight set 11-21, 11-21.

Wong Ling Ching masih ada waktu untuk menjadi pemain yang lebih baik selepas ini. | FOTO Badminton Asia

Korea Selatan kemudian menggandakan kelebihan menerusi beregu Baek Ha Na-Kim Hye Jeong yang mudah menewaskan Carmen Ting-Ong Xin Yee 21-13, 21-9.

Harapan Malaysia untuk mencuri satu mata lebur apabila Wong Ling Ching tunduk kepada Park Ga Eun, sekali gus skuad negara tersingkir dari kejohanan dan pencapaian terbaik kekal mara ke separuh akhir pada edisi 2020 dan 2022.