BEREGU campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei melangkah ke pusingan 16 Terbuka Thailand selepas mengejutkan Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping pada pusingan pertama di Stadium Tertutup Huamark, Bangkok, pada Rabu.
Bagaimanapun, Tang Jie-Ee Wei mendapat tentangan sengit daripada pasangan China yang diletakkan pilihan ketiga itu bangkit menang 19-21 selepas kalah 21-15 di set pertama.
Set penentuan berlangsung sengit sebelum kemenangan memihak pemain negara, 21-19.
Esok, Tang Jie-Ee Wei akan berdepan pemain Jepun, Misaki Matsutomo-Yuki Kaneko dalam usaha mara ke suku akhir.
Kemaraan Tang Jie-Ee Wei diteruskan beregu campuran Chan Peng Soon-Cheah Yee See dengan menewaskan pasangan Singapura, Terry Hee-Jessica Tan.
Tewas 15-21 di set pertama, gandingan ini bangkit memenangi permainan set berikutnya, 21-11. Saling mengejar mata di set penentuan sehinggalah menamatkan perlawanan dengan mata kemenangan 22-20.
Menanti mereka adalah pasangan Korea Selatan, Kim Won-ho-Jeong Na-eun esok adalah di pusingan 16.
Sementara itu tiada masalah untuk perseorangan lelaki, Ng Tze Yong menempah tiket ke pusingan seterusnya apabila mudah menundukkan lawan dari India, Priyanshu Rajawat, 21-19 21-10.
Manakala, aksi perseorangan wanita menyaksikan Goh Jin Wei terus ulangi kegagalan apabila kalah kepada pemain Taiwan, Wen Chi Hsu, 21-11 21-19.
Bekas juara remaja dunia dua kali itu sebelum ini dilihat bergelut dengan keadaan dirinya yang kurang cergas dan sering mengalami kecederaan hingga menyebabkan dia tewas pusingan pertama Masters Malaysia baru-baru ini.