LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan bahawa Financial Fair Play (FFP) akan dilaksanakan dalam saingan Liga Malaysia bermula musim ini.
Beberapa kelab yang mempunyai masalah kewangan dalam beberapa tahun kebelakangan ini memaksa MFL untuk memperkenalkan FFP.
FFP boleh membantu kelab-kelab Liga Malaysia untuk lebih berhemah dalam berbelanja dan mengelakkan kelab-kelab daripada ditimpa masalah kewangan.

MFL sudah melakukan sesi taklimat FFP dengan semua kelab secara dalam talian termasuk keperluan FFP untuk musim 2024/25 pada 25 April lalu. (Sumber Gambar: MFL)
MFL sudah melakukan satu kajian mendalam menerusi Unit Pelesenan Kelab MFL bagi menyesuaikan FFP dengan ekosistem bola sepak tanah air serta merujuk FFP kepada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
Hasil daripada kajian tersebut, sistem yang disesuaikan untuk keperluan Liga Malaysia bagi pelaksanaan FFP itu telah dipersetujui oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL menerusi mesyuarat yang diadakan pada 6 Mac 2024.
Tahun pertama FFP dalam Liga Malaysia dilihat sebagai tahun pengenalan untuk memantau pembayaran gaji pemain dan pegawai yang menjadi isu utama dihadapi dalam liga serta meningkatkan tanggungjawab kelab dalam memastikan kestabilan kewangan yang kukuh.
Badan pengelola liga itu juga akan terus memantau dan melaksanakan FFP untuk tahun-tahun berikutnya demi memastikan kelab-kelab mampu bertahan untuk jangka masa panjang terutama dari segi kewangan.
MFL sudah melakukan sesi taklimat FFP dengan semua kelab secara dalam talian termasuk keperluan FFP untuk musim 2024/25 dan turut dihadiri Pengerusi MFL FFP, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif.