PERTEMBUNGAN klasik derbi utara antara Kedah dan Pulau Pinang sentiasa menjadi tumpuan peminat bola sepak tempatan dengan perseteruan yang sudah lama bermula.
Menjelang aksi Liga Super antara Kedah Darul Aman FC dan Penang FC di Stadium Darul Aman pada Jumaat, kedua-dua pasukan sedang dalam prestasi yang tidak menentu dan kemenangan akan menjadi tonik terbaik untuk mengembalikan keyakinan para penyokong.
Pada aksi pusingan pertama di Stadium Bandaraya April lalu, Kedah berjaya mencatat kemenangan 2-1 hasil dua jaringan Ronald Ngah Wanja dan selepas itu skuad kendalian Aidil Sharin Sahak tidak berjaya memenangi lima perlawanan dalam liga.
N O R T H E R N D E R B Y ! 💪
🏆 Liga Super 2022
🆚 Penang FC
📆 2 September 2022, Jumaat
🕖 9.00 pm
🏟️ Stadium Darul AmanLIVE di Youtube Unifi pic.twitter.com/x5EhHq7zPr
— KEDAH DARUL AMAN FC (@kda_fc) September 1, 2022
Kini, Kedah juga masih terkial-kial memburu kemenangan dalam liga selepas hanya mengutip satu mata dari tiga perlawanan terakhir sekaligus jatuh ke tangga ketujuh namun kekurangan permainan berbanding pesaing terdekat.
Perubahan struktur pasukan dengan kemasukan banyak pemain muda dilihat menjejaskan sedikit rentak Kedah musim ini termasuk tersingkir dari saingan Piala AFC.
Di kem Penang FC pula, skuad Harimau Kumbang masih belum merasai nikmat kemenangan dalam Liga Super apabila tewas enam perlawanan terakhir dengan pengendali baharu, Datuk Zainal Abidin Hassan masih belum menang sejak mengambil alih pasukan.
Penang kini di tangga terbawah liga dengan hanya tujuh mata dari 16 perlawanan hasil satu kemenangan dan empat seri manakala 11 lagi perlawanan berakhir dengan kekalahan.

Kedah di tangga ketujuh manakala Penang tercorot
Harimau Kumbang dilihat tidak mempunyai masalah di bahagian serangan tetapi sangat bermasalah di bahagian pertahanan apabila dibolosi 19 gol dalam lima perlawanan termasuk dibelasah Johor Darul Ta’zim dalam aksi Piala FA.
Masalah ini perlu dibaiki segera oleh barisan kejurulatihan Penang jika mereka mahu mendapatkan keputusan positif dalam baki enam perlawanan untuk layak ke Piala Malaysia.
Pastinya satu aksi yang menarik bakal disajikan oleh kedua-dua pasukan dan adakah Harimau Kumbang akan di pulun Kedah atau Sang Kenari akan di haria oleh Penang.