KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Mohd Shazli Shaik mengesahkan bahawa badan pengelola liga itu akan mengadakan pertemuan bersama kelab-kelab Liga Malaysia dalam masa terdekat susulan pelbagai pandangan dan cadangan yang disuarakan beberapa pasukan kebelakangan ini.
Menurut MFL, badan pengelola liga itu sentiasa terbuka menerima sebarang pandangan, cadangan mahupun kritikan daripada kelab demi kebaikan dan pembangunan Liga Malaysia (Liga M).
Katanya, perancangan untuk mengadakan pertemuan tersebut sebenarnya telah lama dirangka, namun terpaksa ditangguhkan sebelum ini disebabkan beberapa perkara yang sedang berlaku.
“Memang kita sudah ada perancangan untuk berjumpa CEO kelab, tetapi terpaksa ditangguhkan. Namun, selepas menerima pelbagai pandangan daripada kelab, kita terbuka dan akan mengadakan perjumpaan bersama semua CEO serta pemegang taruh termasuk Ahli Lembaga Pengarah dalam masa terdekat,” katanya selepas ditemui media.
MFL menjelaskan bahawa tarikh rasmi pertemuan masih belum dimuktamadkan kerana perlu mengambil kira kesesuaian jadual semua pihak terlibat termasuk kelab, CEO dan ahli lembaga.
Bagaimanapun, badan itu menjangkakan sesi perbincangan berkenaan dapat dilaksanakan sebelum penghujung April ini.
Dalam masa sama, MFL menegaskan bahawa pihaknya tidak pernah menutup ruang kepada mana-mana pihak untuk menyuarakan pandangan berkaitan pengurusan liga.
Setiap cadangan yang dikemukakan oleh kelab, menurut MFL, akan dibincangkan dalam mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah bagi mencari penyelesaian terbaik.
Sejak kebelakangan ini, beberapa kelab termasuk Selangor, Penang, Negeri Sembilan, Sabah dan Terengganu dilaporkan tampil menyuarakan pandangan berkaitan penambahbaikan struktur serta isu semasa Liga Malaysia.
Sehubungan itu, pertemuan yang dirancang dilihat sebagai platform penting untuk menyelaraskan pandangan semua pihak dalam usaha memperkukuh ekosistem bola sepak tempatan.