PEMILIK Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail dilihat terus memacu visi besar bola sepak dan pembangunan Negeri Johor apabila mengadakan pertemuan penting bersama Ketua Pegawai Eksekutif Qatar Airways, Badr Mohammed Al-Meer di Doha, Qatar.
Pertemuan strategik tersebut turut dihadiri bekas bintang bola sepak Australia, Tim Cahill, yang bertindak sebagai Penasihat Khas kepada Tunku Ismail.
Menerusi kenyataan rasmi, Tunku Ismail memaklumkan perbincangan ini bertujuan mengeratkan hubungan antara Johor dan Qatar, dengan Qatar Airways sebagai salah satu rangkaian penerbangan global yang boleh membantu melonjakkan ekonomi negeri.
“Pertemuan ini tertumpu kepada menjalin hubungan lebih erat yang boleh memanfaatkan negeri Johor dengan rangkaian penerbangan luas Qatar Airways dan meningkatkan ekonomi Johor,” dipetik daripada Instagram rasmi Tunku Ismail.
Lawatan Tunku Ismail ke Qatar juga merangkumi beberapa siri perbincangan bersama individu berpengaruh dalam dunia bola sepak dan bidang pembangunan infrastruktur. Antara topik utama termasuk perkongsian kepakaran dan pembangunan bola sepak serta ekonomi, yang turut memberi impak besar kepada JDT dan Negeri Johor.
Menariknya, dalam satu hantaran di laman sosial, Tunku Ismail menyentuh tentang revolusi baharu yang bakal berlaku, membawa petunjuk jelas akan wujudnya langkah lebih besar selepas kejayaan yang telah dicapai dalam tempoh 11 tahun lalu.
“Semua yang saya katakan 11 tahun lalu saya telah capai. Dua tahun lalu saya berkata saya akan meningkatkan sukan ini dan saya telah melakukannya dalam dan di luar padang.
“Tonton apa yang saya akan lakukan sekarang. Bola sepak hanyalah kenderaan, ini bakal ke depan dan lebih besar.”
Kenyataan ini memberi gambaran bahawa JDT bukan sahaja akan terus mendominasi bola sepak tanah air, tetapi bakal membuka lembaran baharu dengan potensi kerjasama global yang lebih luas, khususnya bersama Qatar Airways.
Bagi penyokong bola sepak tempatan, langkah Tunku Ismail ini bukan sahaja akan menaikkan JDT sebagai jenama antarabangsa, malah bakal membawa manfaat ekonomi yang signifikan kepada Negeri Johor dan meletakkan bola sepak Malaysia di peta dunia.