FIFA dilaporkan menetapkan harga sekitar RM200 juta kepada Malaysia bagi hak penyiaran Piala Dunia FIFA 2026 yang bakal berlangsung pada bulan Jun dan dilihat terlalu membebankan dalam keadaan ekonomi semasa hingga menimbulkan persoalan sama ada rakyat mampu menikmati siaran kejohanan tersebut.
Sehingga penghujung tahun lalu, FIFA dilaporkan masih belum menurunkan harga walaupun pelbagai rundingan dan penangguhan telah dilakukan. Pihak FIFA mempertahankan nilai tersebut dengan alasan edisi kali ini lebih besar, melibatkan 48 pasukan berbanding 32 sebelum ini, serta keseluruhan 104 perlawanan yang akan berlangsung di tiga negara tuan rumah iaitu Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.
Dalam masa sama, situasi kewangan penyiar utama negara seperti Astro Malaysia Holdings juga tidak begitu kukuh. Laporan kewangan terkini menunjukkan keuntungan bersih syarikat itu merosot hampir 50% kepada sekitar RM63 juta bagi tahun kewangan 2026, dengan pendapatan turut menurun kepada sekitar RM2.8 bilion berbanding tahun sebelumnya.
Walaupun terdapat sedikit peningkatan dari segi pengiklanan dan pertumbuhan digital, kos operasi yang tinggi serta pelaburan dalam platform penstriman memberi tekanan besar kepada keuntungan. Dalam keadaan ini, syarikat penyiaran dan korporat tempatan dilihat sukar untuk menanggung kos RM200 juta, apatah lagi pulangan pelaburan tidak menjanjikan keuntungan yang jelas.

Laporan kewangan Astro Malaysia Holdings Berhad pada 25 Mac 2026
Persoalan turut timbul terhadap peranan penyiar awam negara di mana sebagai agensi di bawah kerajaan adalah tidak munasabah untuk membelanjakan jumlah sebesar RM200 juta hanya untuk satu kejohanan lebih-lebih lagi ketika rakyat berdepan kos sara hidup yang semakin meningkat dan keutamaan perbelanjaan negara perlu diurus dengan lebih berhemah.
Kejohanan ini dijangka berlangsung pada bulan Jun, memberi tempoh yang sangat singkat untuk mana-mana syarikat mendapatkan penajaan. Walaupun diberikan diskaun puluhan juta ringgit, jumlah yang masih perlu ditanggung tetap besar. Persoalannya, siapakah yang sanggup melabur puluhan juta ringgit dalam tempoh singkat tanpa jaminan pulangan yang setimpal?
Syarikat tempatan juga melihat kepada kejohanan lain yang lebih relevan dengan kepentingan negara seperti Sukan Komanwel 2026 yang akan berlangsung di Glasgow serta Sukan Asia 2026 di Aichi Prefecture dan Nagoya.
Kedua-dua kejohanan ini melibatkan penyertaan atlet Malaysia yang dapat memberikan nilai komersial dan semangat nasional yang lebih tinggi berbanding Piala Dunia yang tidak melibatkan pasukan negara.
Secara keseluruhan tindakan FIFA menetapkan harga tinggi dilihat tidak selari dengan keadaan ekonomi semasa yang menuntut Malaysia dan syarikat tempatan membuat keputusan lebih rasional dengan mengutamakan kepentingan rakyat berbanding memenuhi tuntutan mahal tanpa pulangan jelas.