MALAYSIAN Football League (MFL) mengesahkan telah menerima pemakluman rasmi daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) terhadap rayuan kes membabitkan tujuh pemain warisan skuad kebangsaan.

Menurut MFL, pemakluman yang diterima semalam menyatakan tujuh pemain terbabit kekal dikenakan penggantungan selama 12 bulan, namun larangan itu hanya terpakai kepada penyertaan dalam perlawanan rasmi dan tidak melibatkan semua aktiviti berkaitan bola sepak.

Susulan keputusan tersebut, empat pemain yang beraksi dalam saingan Liga Malaysia tidak dibenarkan beraksi sepanjang tempoh penggantungan itu.

Tiga daripadanya merupakan pemain Johor Darul Ta’zim iaitu Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel, manakala seorang lagi pemain Kuching City FC, Gabriel Palmero.

Walaupun tidak dibenarkan beraksi dalam perlawanan rasmi, pemain terbabit masih dibenarkan menjalani latihan bersama kelab masing-masing sepanjang tempoh penggantungan berkenaan.