DI saat bola sepak negara dilanda kemelut susulan kes pemalsuan dokumen yang mencetuskan keputusan memalukan selepas rayuan ditolak di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), skuad hoki lelaki negara tampil memberi sedikit sinar apabila berjaya melayakkan diri ke Piala Dunia buat kali kelapan.

Kejayaan itu hadir selepas Speedy Tigers menamatkan saingan Kelayakan Piala Dunia 2026 di Ismailia, Mesir di kedudukan keempat apabila tewas 4-5 terhadap Jepun, namun masih berjaya menempah tiket ke kejohanan berprestij itu berdasarkan kedudukan ranking dunia.

Skuad negara yang kini berada di tangga ke-14 dunia memperoleh kelebihan apabila ranking mereka lebih tinggi berbanding beberapa pasukan lain yang turut bersaing bagi slot kelayakan terakhir.

Situasi itu membolehkan Malaysia muncul sebagai pasukan dengan ranking tertinggi antara pasukan yang gagal menamatkan saingan dalam kelompok tiga terbaik di kejohanan kelayakan, sekali gus mengesahkan tempat ke Piala Dunia.

Pencapaian tersebut sekali lagi membuktikan bahawa hoki kekal sebagai antara sukan yang konsisten mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

Walaupun tidak berjaya meraih kemenangan tempat ketiga kejohanan kelayakan itu, prestasi yang ditampilkan skuad negara tetap dianggap membanggakan memandangkan mereka berjaya mengekalkan kedudukan ranking dunia yang kompetitif.

Kejayaan tersebut juga wajar menjadi suntikan semangat buat komuniti sukan tanah air ketika beberapa sukan lain sedang berdepan cabaran serta isu yang mencalar imej negara.

Penghargaan juga selayaknya diberikan kepada barisan pemain, jurulatih serta pengurusan skuad kebangsaan yang terus bekerja keras memastikan Malaysia kekal berada dalam kelompok elit hoki dunia.

Pada masa sama, ucapan tahniah turut ditujukan kepada Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) yang memainkan peranan penting dalam memastikan pembangunan hoki negara terus berada di landasan yang betul sehingga membolehkan skuad negara kembali beraksi di pentas Piala Dunia.