SELANGOR FC selangkah lagi untuk dinobatkan sebagai juara MFL Challenge Cup 2024/25 selepas mencatat kemenangan 3-2 ke atas PDRM FC dalam perlawanan akhir pertama yang berlangsung pada Sabtu.

Beraksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor memulakan perlawanan dengan garang apabila Alvin Fortes meletakkan pasukan tuan rumah di hadapan seawal minit ketiga hasil hantaran cantik Ronnie Fernandez.

Bagaimanapun, hanya tiga minit kemudian, kesilapan penjaga gol Selangor, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi di luar kotak penalti dimanfaatkan oleh penyerang PDRM, Shahrel Fikri Md Fauzi yang merampas bola sebelum dikasari oleh Safuwan Baharuddin.

Insiden itu membawa padah buat kapten Selangor apabila dia dilayangkan kad merah selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR), memaksa Selangor beraksi dengan 10 pemain seawal minit keenam.

Namun, kekurangan pemain tidak melemahkan semangat Selangor apabila Fortes sekali lagi mencetak nama selaku penjaring pada minit ke-18, melebarkan kelebihan tuan rumah kepada 2-0.

PDRM kemudian meningkatkan tekanan, dan usaha mereka membuahkan hasil pada minit ke-27 apabila Shahrel Fikri menyempurnakan hantaran Fadi Awad untuk merapatkan jurang.

Pasukan pelawat terus mengasak dan akhirnya menyamakan kedudukan menerusi tandukan Badrul Affendy pada minit ke-39, hasil sepakan penjuru Shahrel Fikri, menjadikan keputusan 2-2 menjelang waktu rehat.

Bersambung babak kedua, Selangor tidak menunggu lama untuk kembali mendahului apabila Ali Olwan menyudahkan hantaran Quentin Cheng pada minit ke-50, menjadikan kedudukan 3-2.

PDRM berusaha keras untuk mencari gol penyamaan dengan beberapa percubaan berbahaya, namun pertahanan Selangor kekal disiplin untuk mempertahankan kelebihan sehingga wisel penamat dibunyikan.

Dengan kemenangan ini, Selangor membawa kelebihan satu gol ke perlawanan akhir kedua yang bakal berlangsung di gelanggang sama pada Sabtu depan, sekali gus semakin hampir menjulang trofi Piala Cabaran.

FOTO : MFL