KELAB Terengganu FC tampil menjelaskan bahawa isu sekatan pendaftaran pemain oleh FIFA yang tular baru-baru ini sebenarnya telah diselesaikan sepenuhnya sejak April 2025 dan tidak sepatutnya terus dijadikan polemik di media sosial.

Menurut kenyataan rasmi kelab, sekatan tersebut berpunca daripada pertikaian kecil membabitkan bekas pegawai asing pasukan melibatkan bayaran elaun berjumlah lima angka.

Namun, TFC telah menyelesaikan isu berkenaan dan menerima pengesahan rasmi daripada FIFA pada 21 April, dengan masa lima hari diberikan kepada penuntut untuk mengesahkan pembayaran.

Siaran media yang dikeluarkan TFC.

Pihak TFC menegaskan bahawa perkara ini tidak lagi relevan memandangkan tempoh tersebut telah pun berlalu dan tiada halangan untuk pendaftaran pemain baharu bagi jendela perpindahan akan datang yang dijangka bermula Julai sebelum sepak mula Liga Malaysia 2025/26.

Namun begitu, segelintir peminat didapati terus menularkan isu ini seolah-olah kelab masih dibelenggu sekatan, sekali gus mencetuskan kekeliruan serta menjejaskan imej pasukan.

TFC menzahirkan rasa kesal dengan penyebaran maklumat tidak tepat yang boleh mengundang tanggapan negatif dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan.

Kelab berharap semua pihak lebih memahami tatacara dan prosedur berkaitan urusan FIFA serta menyeru agar sebarang isu melibatkan kelab disemak dan difahami terlebih dahulu sebelum disebarkan secara terbuka.