SATU berita yang menggembirakan buat penyokong-penyokong Kedah Darul Aman FC apabila bekas pemain kesayangan mereka, Baddrol Bakhtiar akan kembali menyumbang jasa keringatnya buat kelab bagi musim 2024 ini.

Baddrol yang mengambil keputusan untuk bersara tahun lalu telah memilih untuk berhijrah dari arena sukan bola sepak ke dunia politik, berikutan rasa tekadnya untuk memperjuangkan hak agama dan bangsa.

Namun, tidak kira sejauh mana dia berlari dari kancah arena bola sepak, kini dirinya akan bersama semula ke dakapan Kedah FC untuk memegang jawatan sebagai Pengurus Pasukan Kedah FC B.

Baddrol yang menceburi bidang politik akan menggalas tanggungjawab sebagai Pengurus Pasukan Kedah B musim ini.

Khidmat bekas pemain berusia 36 tahun yang ditagih oleh pihak Kedah FC adalah demi membantu mempersiapkan pasukan menjelang saingan bolasepak yang akan bermula tidak lama lagi, terutama untuk Kejohanan Piala MFL 2024.

Perkhabaran positif tentang kepulangan legenda bola sepak ini telah diumumkan secara rasmi dalam sidang media yang dikendalikan oleh Pemilik Sang Kenari, Tan Sri Daud Bakar, pada pagi Isnin.

Jelas dilihat, walaupun keutamaan Baddrol adalah menjadi seorang wakil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedah DUN Gurun, namun ia tetap tidak dapat menidakkan cinta dan semangatnya terhadap bola sepak lebih-lebih lagi demi menyumbang ke arah kemajuan skuad kelahirannya itu.

Selain Baddrol, Khairul Ismail turut diumum menjadi ketua jurulatih pasukan Kedah FC B.

Kembalinya Baddrol ke Kedah diharapkan agar dapat menurunkan ilmu dan kemahiran bola sepaknya kepada pemain-pemain muda khususnya buat bakat-bakat tempatan yang diberi fokus oleh pengurusan Kedah FC.

Untuk rekod, sepanjang enam tahun mewakili Kedah FC sejak tahun 2015 hingga 2021, Baddrol telah berjaya menghasilkan 33 biji gol dalam keseluruhan 27 penampilan yang dibuat bersama skuad Sang Kenari.

Baddrol seterusnya melengkapkan perpindahannya ke Sabah FC selama dua tahun sebelum mengakhiri kariernya sebagai pemain bola sepak. Di situ, dia meneruskan aksi cemerlang dengan mencipta 10 gol buat pasukan The Rhinos, kendalian Ong Kim Swee.