KELAB Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mengesahkan perubahan dalam pasukan apabila mengumumkan beberapa nama-nama besar yang bakal meninggalkan pasukan menjelang musim baharu Liga Malaysia 2024-25.

Pengesahan ini susulan pengumuman kelab yang menyatakan mereka akan melakukan penstrukturan kewangan bagi memastikan ketahanan jangka panjang dengan mengurangkan perbelanjaan sehingga 30-40 peratus untuk musim hadapan.

Perkara ini diumumkan melalui hantaran di laman sosial rasmi kelab yang bakal menyaksikan transformasi besar-besaran dilakukan pemenang ‘Double Quadruple’ Liga Malaysia itu.

Antara individu yang bakal meninggalkan kelab adalah ketua jurulatih, Esteban Solari serta barisan kejurulatihan sekaligus bakal menyaksikan Harimau Selatan bakal mendapat jurulatih baharu untuk mengekalkan legasi kecemerlangan dominasi sedekad.

Selain itu, pemain-pemain senior kelab seperti Aidil Zafuan Abd Radzak, S. Kunanlan, Ahmad Hazwan Bakri, Adam Nor Azlin, Leandro Velazquez dan Diogo Luis Santo juga disahkan akan meninggalkan kelab.

JDT juga mengesahkan tiga pemain, Akhyar Rashid, Safawi Rasid dan Haziq Nadzli akan dilepaskan sebagai pemain pinjaman namun kelab yang bakal disertai tidak didedahkan.

“Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) ingin berterima kasih dan mengucapkan selamat maju jaya kepada barisan kejurulatihan, pemain dan kakitangan yang bakal meninggalkan kelab.

“Harimau Selatan sedang melakukan transformasi yang menyaksikan kelab mengurangkan perbelanjaan sehingga 30-40 peratus kerana penstrukturan semula kewangan untuk memastikan ketahanan jangka panjang kelab. Kelab telah membelanjakan sejumlah wang untuk projek bola sepak sepanjang enam hingga tujuh tahun ini.

“Antara yang meninggalkan kelab termasuk ketua jurulatih Esteban Solari, Rodrigo Barrios, Antonio Mateos, Antonio Gavilan dan Dr. Leandro Pinero dari barisan kejurulatihan. Pemain seperti Aidil Zafuan Abd Radzak, S. Kunanlan, Ahmad Hazwan Bakri, Adam Nor Azlin, Leandro Velazquez dan Diogo Luis Santo juga akan meninggalkan kelab selepas lama berkhidmat untuk kelab.

 

“JDT juga ingin mengucapkan selamat maju jaya buat pemain yang akan dipinjamkan seperti Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan Haziq Nadzli,” menurut kenyataan itu.

Perkara ini pasti akan menggegar dunia bola sepak tempatan dengan teka-teki pasukan mana yang bakal disertai pemain pinjaman akan menjadi berita hangat sepanjang pra musim menjelang permulaan musim pada Mei 2024.