DATUK Azizulhasni Awang masih kekal bersemangat memburu pingat di temasya Sukan Asia, biarpun mengalami kecederaan sewaktu menjalani latihan Jumaat lalu.
Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Nazifuddin Najib berkata, kecederaan dialami The Pocket Rocketman tidak kritikal.
“Sukan berbasikal sememangnya berisiko tinggi kerana mudah tergelincir namun Azizulhasni tidak mengalami kecederaan kritikal, terdapat luka-luka pada kilit dan saya difahamkan proses pemulihannya boleh berlaku dalam jangka waktu pantas dan sempat pulih sepenuhnya sebelum pertandingan.

Datuk Azizulhasni Awang dikerumuni ketua jurulatih John Beasley dan pelatih basikal trek negara, selepas terlibat kemalangan dalam latihan, pada Jumaat.
“Saya diberitahu, Isnin ini (esok) Azizulhasni akan menjalani pemeriksaan di ISN (Institut Sukan Negara) dan kami akan diberi maklumat kedudukan terkini pelumba itu,” kata Nazifuddin, selepas Flag Off Chef de Mission (CDM) Kontinjen Malaysia ke Sukan Asia Hangzhou, di perkarangan Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil.
CDM, Datuk Chong Kim Fatt bersama seorang pegawai MOM dan 15 atlet kriket wanita, berlepas ke Hangzhou, hari ini, menjadi wakil pertama negara berlepas ke negara tembok besar itu.

Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Nazifuddin Najib melepaskan kumpulan pertama kontinjen negara berlepas ke Hangzhou.
Pasukan kriket wanita akan membuka saingan menentang Hong Kong pada 19 September (Selasa).
CDM dan skuad kriket wanita berlepas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur menaiki tujuh kenderaan yang ditaja Proton-Geely, iaitu jenama penaja rasmi Sukan Asia Hangzhou 2022.
Tujuh kenderaan itu terdiri daripada Proton X70, X50, Persona dan Saga.

CDM ke Sukan Asia Hangzhou, bersama atlet kriket wanita menjadi kumpulan pertama kontinjen negara ke Sukan Asia ke-19 di Hangzhou, China.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Pemasaran dan Jaringan Sokongan Proton Malaysia, Steven Zhou Qi berkata, pihaknya berbangga apabila dipelawa CDM untuk terlibat sama dalam kontinjen negara ke Sukan Asia.

Timbalan Pengarah Pemasaran dan Jaringan Sokongan Proton Malaysia, Steven Zhou Qi berbangga dapat bersama-sama dengan kontinjen negara dalam satu semangat Malaysia.
“Saya berbangga kerana kami boleh membantu memberi sokongan kepada kejayaan atlet kita ke China.
“Ianya bukan kerana Proton tapi juga Malaysia, jadi kami berasa ini satu penghormatan dan kami menanti kontinjen negara melakar sejarah di Sukan Asia ke-19,” kata Steven.