KEMENANGAN besar dicapai skuad hoki lelaki negara pada temasya Sukan Asia ke-19, melegakan pengendali A Arulselvaraj, namun paling menggembirakannya adalah, tiada pemain yang mengalami kecederaan selepas dua perlawanan.

Selepas menang 9-0 ke atas Thailand, Malaysian Tigers membedil kubu Oman dengan 11 jaringan dan bolos sekali, membolehkan pasukan kebangsaan ketika ini mengumpul 20 gol dan bolos sekali.

Ketangkasan pemain sememangnya satu faktor penting buat skuad negara yang turut terkenal dengan julukan Speedy Tigers, namun bagi menghadapi perlawanan-perlawanan mendatang, menentang pasukan di ranking lebih tinggi, amat memerlukan penggiliran tenaga, dan sebab itulah Arul gembira tiada pemainnya mengalami kecederaan.

Arul berkata, tahap kecergasan pemainnya amat penting kerana saingan hoki di Temasya Hangzhou masih panjang, ketika perburuan pingat emas menjadi matlamat.

Tiada pemain hoki negara yang mengalami kecederaans erius selepas dua perlawanan. |Pix FB Malaysian Hockey Confederation.

“Perkara paling penting bagi saya adalah bukan jaringan yang besar tetapi ia keadaan pemain. Apa yang lebih penting adalah tiada pemain kita yang mengalami kecederaan serius.

“Jadi saya lega dengan situasi ini… semua pemain pun gembira. Suasana dalam pasukan juga berada dalam keadaan yang baik jadi kita akan teruskan kerja baik ini untuk aksi seterusnya,” katanya, selepas perlawanan di Stadium Gongshu Canal Sport Park.

Menurut Arul, pemainnya mempamerkan peningkatan berbanding aksi pertama berdepan Thailand.

Kapten, Marhan Jalil mengawal benteng pertahanan skuad negara dengan baik. |Pix FB Malaysian Hockey Confederation.

“Satu lagi kemenangan besar 11-1 dan kita ada semua jenis gol daripada gol padang, pukulan sudut penalti dan pukulan penalti. Cuma mungkin kita boleh tambah baik daripada segi teknikal.

“Fokus kita adalah untuk menjadi lebih baik daripada satu perlawanan ke perlawanan seterusnya. Seperti yang saya katakan sebelum ini, tiga perlawanan pertama memberi kesempatan yang baik untuk kita terus mendapatkan rentak terbaik,” katanya.

Dalam pada itu, ketika menentang Oman, skuad negara mendahului menerusi dua gol Razie Rahim pada minit ketiga dan 11, sebelum gol padang Mohamad Ashran Hamsani (m14) membolehkan Malaysia mendahului 3-0 sehingga tamat suku pertama.

Pemain Oman, Fahad Hasan menewaskan penjaga gol negara, Muhammad Hafizuddin Othman.|Pix FB Malaysian Hockey Confederation.

Malaysia menambah empat gol pada suku kedua menerusi Shello Silverius (m18), Faizal Saari (m26), Azrai Aizad Abu Kamal (m29) dan Ashran (m30) namun gawang Malaysia ‘bocor’ buat kali pertama apabila Oman mendapat jaringan daripada Fahad Al-Lawati (m23).

Memasuki suku ketiga dengan keputusan 7-1, Malaysia menambah lagi ‘koleksi gol’ menerusi Najmi Farizal Jazlan (m34), Ashran (m35), Azrai (m36), Faizal (m39), namun tiada gol terhasil dalam suku keempat.

Selepas ini, Malaysia akan menentang satu Indonesia yang dibimbing Muhammad Dharmaraj Abdullah, di venue sama, pada Khamis.