MENJEJAK kaki ke final Liga Premier Futsal Malaysia 2023 (MPFL2023) merupakan satu kepuasan buat pasukan ‘underdog’ seperti Johor Darul Ta’zim.
Jurulatih pasukan Harimau Selatan itu, Juan Antonio berkata, ianya juga menjadi satu semangat buat pemain-pemainnya memandangkan prestasi yang baik walaupun baharu ditubuhkan.
“Pasukan kami sangat bermotivasi kerana ini merupakan final. Bukan mudah untuk sampai ke sini tetapi kesemua pemain berusaha dengan bersungguh-sungguh.
“Dalam situasi final ini, pemain hanya tertumpu untuk mendapatkan gol. Sama seperti yang dilakukan pada permainan di peringkat suku akhir dan separuh akhir,” katanya kepada FLASH SUKAN ketika ditemui dalam sesi latihan akhir pasukan itu di Stadium SUKPA, Kuantan.
Menjawab jika mempunyai sebarang strategi dilakukan bagi mematahkan serangan lawan, Juan menekankan tiada sebarang strategi dan percaya pasukannya berada di momentum yang terbaik.
“Kami hanya bekerja untuk pasukan. Saya tidak risau kepada pemain saya kerana persembahan mereka berada di tahap yang baik.
“Kami anggap semua pihak lawan adalah sama. Apa yang perlu kami lakukan hanya fokus kepada permainan,” jelasnya.
Dalam pada itu, dia menganggap aksi perlawanan bersama Pahang Rangers akan berlangsung dengan intensiti tinggi memandangkan skuad Tok Gajah itu mempunyai satu pasukan yang bagus.
Final MPFL 2023 merupakan aksi yang pertama buat JDT sejak ditubuhkan pada awal tahun ini dan bakal menentang Pahang Rangers FC di Stadium Tertutup SUKPA, Kuantan pada Sabtu.