PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) kini dalam perancangan untuk melantik ketua jurulatih futsal kebangsaan yang baharu sebagai persiapan untuk menghadapi Kejohanan Futsal AFF dan Kejohanan Dalam Dewan Asia pada Oktober dan November 2023.

Jawatan Ketua Jurulatih Skuad Futsal Kebangsaan sebelum ini disandang Chiew Chun Yong tetapi khidmatnya mungkin tidak dikekalkan selepas aksi mengecewakan ketika Sukan Sea Vietnam pada 2022.

Perkara ini disahkan oleh Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman yang mengatakan FAM akan mengambil jurulatih luar untuk kembali menaikkan semula prestasi skuad futsal kebangsaan.

Noor Azman Rahman, Setiausaha Agung FAM

 

Selain itu FAM juga gembira dengan kerjasama yang diperolehi daripada penaja untuk melangsungkan Liga Premier Futsal Kebangsaan (MPFL) dan akan berusaha untuk meningkatkan lagi penajaan untuk musim hadapan.

“Memang ada dalam perancangan kami untuk mengambil orang luar sebagai Ketua Jurulatih Futsal yang baharu dan kita sudah mengenalpasti tiga nama dan akan dipilih selepas sesi temuduga yang akan dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Futsal Kebangsaan.

“Kami di FAM juga gembira kerana perjalanan Liga Premier Futsal Kebangsaan tahun ini berjalan lancar dengan penajaan yang diterima dan kini dalam proses meningkatkan lagi penajaan untuk musim hadapan dan seterusnya,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Barangan Rasmi MPFL 2023 di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Dalam majlis yang sama, Noor Azman turut mengumumkan perancangan akar umbi sukan futsal tanah air dengan FAM bakal menganjurkan Liga Suparimau Futsal bagi mencari bakat-bakat muda di seluruh negara.

MPFL yang akan membuka tirai saingan pada 18 Februari 2023 akan menampilkan 14 pasukan dalam dua kumpulan yang akan berlangsung sehingga 5 Ogos 2023 dan diikuti oleh Piala Malaysia Futsal dari 19 Ogos hingga 23 September 2023.