PENGENDALI Terengganu FC, Nafuzi Zain tampil memohon maaf atas kegagalan pasukannya menjulang kejuaraan Piala FA 2022 apabila tewas 1-3 di tangan Johor Darul Ta’zim pada Sabtu.
“Pertama kali mohon maaf kepada semua penyokong Terengganu yang datang dengan harapan muncul juara malam ini.
“Terima kasih atas sokongan. Semua kecewa, saya pun kecewa tapi kami dah bagi terbaik.
“Kami tetap bangga kejayaan sampai ke final dengan skuad yang kita ada,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
"Saya rasa ke final ini sudah pun satu kejayaan Di situ jelas dari segi pengalaman.JDT dengan pemain kita sangat berbeza. Kita memberi saingan,masih memberi cabaran, ada peluang gol tetapi di hukum dengan kesilapan sendiri." – Nafuzi Zain
— Flash Sukan (@FlashSukan) September 10, 2022
Dia juga tidak menafikan perbezaan kualiti yang ketara di antara pemainnya dengan lawan menjadi faktor kekalahan dalam aksi final.
“Setiap pemain lawan mempunyai pengalaman dan sering bermain di perlawanan akhir, sedangkan pemain Terengganu pula kurang pengalaman kerana dibarisi oleh ramai pemain muda.
“Tapi kami tetap cuba bermain namun mungkin sebab faktor tekanan, pengalaman dan kualiti menjadikan JDT lebih baik dari kita,” ujarnya lagi.
Nafuzi kini akan memberi fokus pada saingan Liga Super dengan menyasarkan untuk berada pada kedudukan tiga teratas sekaligus mencerahkan peluang mereka untuk beraksi di Piala AFC jika JDT menjadi juara Liga Super.