AMIRUL Haziq Kamal Ariffin muncul wira Selangor FC apabila berjaya menyumbat gol tunggal pasukan Gergasi Merah pada minit ke-67 menerusi sepakan lencong yang menewaskan penjaga gol Sri Pahang FC, Zarif Aiman Zaiwanadi membawa Selangor menjulang Piala Belia 2022.

sebelum ini, pada aksi separuh masa pertama berlangsung seimbang dengan kedua-dua pasukan mempamerkan corak menyerang namun gagal diterjemahkan kepada jaringan.

Babak kedua Selangor FC dilihat lebih menguasai perlawanan apabila Amirul Haziq berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-67 dengan jaringan menerusi sepakan percuma lencong yang cantik.

Pemain Selangor FC dan Sri Pahang FC pada final Piala Belia 2022.

Enggan mengalah, Sri Pahang FC terus mengasak kubu pelawat dengan larian tengah padang dari Zulfahmi Zulkifli yang berjaya mengelirukan penjaga gol Selangor FC untuk menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-73.

Gol tersebut jelas menyuntik semangat tuan rumah dengan melancarkan serangan bertali arus ke kubu pelawat namun kedudukan tersebut kekal hingga wisel penamat.

Kemenangan tersebut menyaksikan Selangor FC berjaya dengan keputusan agregat 2-1 sekaligus menamatkan kemarau 7 tahun selepas kali terakhir merangkul piala tersebut pada edisi 2015.

Manakala, Sri Pahang FC terus kempunan mendakap kejuaraan sulungnya setelah kali terakhir layak ke perlawanan akhir pada tahun 2004 namun tewas kepada Kuala Lumpur.