BEKAS pemain tengah kebangsaan, Wan Zack Haikal Wan Noor menegaskan pengendali Perak FC, Datuk Lim Teong Kim sememangnya mementingkan elemen disiplin dalam segala apa yang dilakukan terutama ketika sesi latihan.
Wan Zack yang dalam musim keduanya bersama Perak tidak mempunyai masalah dengan corak latihan yang diterapkan dan berazam untuk memberikan aksi terbaik musim ini bermula dengan aksi di Piala Menteri Wilayah Persekutuan pada Sabtu.
Malah Wan Zack juga gembira kerana masih diberikan peluang untuk bersama pasukan Perak dan dapat belajar ilmu bola sepak daripada Teong Kim yang pernah berkelana ke Jerman selain tidak sabar untuk beraksi pada musim 2023 ini.

“Persiapan setakat ini semuanya dalam keadaan yang baik dan kami akan berikan persembahan yang baik buat pasukan Perak dalam perlawanan menentang Kuala Lumpur City pada Sabtu.
“Sebagai pemain, saya banyak belajar daripada Datuk Lim terutama dari segi disiplin sebagai pemain bola sepak profesional. Kami dididik dan diasuh dengan disiplin dan saya tidak mempunyai masalah dengan corak latihan yang diterapkan olehnya,” katanya ketika sidang media pra perlawanan Piala Menteri Wilayah Persekutuan.
Wan Zack, 31 kini adalah antara pemain senior yang bakal membawa pengalamannya beraksi di luar negara untuk membimbing pemain-pemain muda dalam skuad Perak yang baharu dibentuk semula musim ini.
Perak yang melalui fasa kelam musim lalu kini kembali mencabar dalam Liga Super dan pastinya juara Piala Malaysia 2018 itu mahu membuka tirai dengan kemenangan dalam aksi Piala Menteri Wilayah Persekutuan menentang Kuala Lumpur City FC pada Sabtu.