PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini mengeluarkan senarai nama 27 pemain yang dipanggil oleh ketua jurulatih kebangsaan, Pau Marti untuk ke kem latihan pusat skuad Harimau Malaya bermula Ahad, 6 Oktober 2024.

Ianya tidak lain tidak bukan, skuad kebangsaan perlu bersedia menghadapi Perlawanan Antarabangsa Tier 1 menentang New Zealand di Stadium North Harbour, Auckland pada 14 Oktober nanti.

Berdasarkan senarai yang diumum, Pau Marti telah mengekalkan seramai 23 daripada 26 pemain dari skuad yang menjuarai Pestabola Merdeka 2024 setelah menewaskan Lubnan 1-0 pada final 8 September lalu.

Namun, terdapat kehadiran beberapa muka baharu seperti penjaga gol Selangor FC, Azim Al Amin Kamaruddin serta pemain muda dari skuad B-19 kebangsaan yang baru kembali dari Kelayakan Piala Asia B-20 2025 di Tajikistan iaitu penjaga gol, Haziq Aiman Mohd Esa (JDT II).

Turut dipanggil untuk ikut serta ke kem pusat latihan skuad kebangsaan ialah Haykal Danish Mohd Haizon (Selangor FC B-23) yang akan cuba menonjolkan prestasi terbaiknya di hadapan Pau Marti nanti.

Untuk makluman, skuad Harimau Malaya akan berlepas terus ke Auckland pada 6 Oktober 2024 untuk menjalani kem latihan pusat di sana selama seminggu bagi menghadapi perlawanan menentang New Zealand pada 14 Oktober 2024 dan kembali ke tanah air, hari berikutnya.