PERINGKAT 4 Le Tour de Langkawi 2024, yang berakhir di Bentong, Pahang umpama mimpi ngeri buat kem berbasikal negara, apabila lima pelumba dari tiga wakil pasukan terpaksa melupakan terus baki jelajah ke Melaka, Johor dan Sarawak.

Selepas berakhirnya “Queen Stage” di Peringkat 3 pada Selasa, saingan dari Kuala Kubu Bharu ke Bentong, sejauh 131.2 kilometer (km) yang melibatkan satu zon pendakian Kategori 1 di Gap dan tiga zon pecut, di Raub, Sungai Ruan serta Sungai Klau, bukan calang-calang cabaran.

|FOTO Sekretariat LTdL2024

Pelumba paling berpengalaman dari pasukan Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd Harrif Saleh; Muhammad Fahmi Khairul dan Mohamad Izzat Hilmi Abdul Halil, dari Malaysian Pro Cycling (MPC); Zulhelmi Zainal dari Nusantara Cycling serta Abdul Azim Aliyas dari pasukan kebangsaan Malaysia, tersingkir dari perlumbaan.

Mereka dipercayai kepenatan selepas pendakian di Cameron Highlands, sehingga gagal menamatkan perlumbaan dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Pelumba paling berpengalaman dalam LTdL, Mohd Harrif Saleh tersingkir dari perlumbaan selepas gagal menamatkan saingan dalam tempoh waktu ditetapkan.

Lebih mengejutkan, juara bertahan edisi tahun lalu, Simon Carr dari pasukan EF Education-EasyPost, turut tersingkir dan tidak dibenarkan meneruskan baki saingan, atas alasan yang sama.

Perlumbaan yang bermula dengan 8.2km zon neutral sebelum disusuli pendakian tunggal sejauh 865 meter (m), pada awalnya memberi kelebihan kepada pakar pendakian yang mula membuat pemecahan.

Juara bertahan Simon Carr, gagal mempertahan jersi GC (juara keseluruhan) yang dimenangi pada LTdL2023, selepas tersingkir dari perlumbaan.

Namun, laluan landai dan tiga zon pecut berturut-turut menyaksikan peloton besar diketuai jaguh pecut mula menangkap dan meninggalkan pakar pendakian yang sudah kepenatan.

Kesukaran laluan bengkang-bengkok, cuaca panas serta berangin juga menyaksikan Ng Pak Hang dari HKSI Pro Cycling, gagal menamatkan perlumbaan.

Peringkat 5 pada Khamis, akan bermula dari Menara Berkembar Petronas (Menara KLCC) ke Melaka sejauh 167.km yang menawarkan tiga zon pendakian iaitu Bukit Ampang (Kategori 2), Bukit Hantu (Kategori 2), Bukit Mantin (Kategori 3) selain tiga zon pecutan di Semenyih, Seremban dan Rembau.