MORAL pemain skuad bola sepak Bawah 23 Tahun (B-23) negara pada tahap positif menjelang pertembungan penting menentang juara bertahan Korea Selatan dalam perlawanan pembukaan Piala AFC B-23 Kumpulan C di Stadium Lokomotiv pada Khamis.

Atas kertas Korea Selatan sememangnya dilihat tidak bermasalah meraih tiga mata penuh namun keupayaan anak didik Brad Maloney juga tidak seharusnya diperkecilkan.

“Moral pemain sangat baik. Pemain bekerja keras selepas berakhir kejohanan di Hanoi ditambah suasana persekitaran yang harmoni dalam skuad.

“Kami melakukan persediaan rapi bertemu Korea Selatan satu lawan yang kuat, cukup kompetitif dan ia akan beri kami satu cabaran berguna,” katanya di Tashkent, Uzbekistan.

Edisi kelima Piala AFC B-23, juga akan menyaksikan pelaksanaan penuh sistem teknologi video bantuan pengadil (VAR) melibatkan semua perlawanan untuk kali kedua berturut-turut.

“Ia bukan sesuatu yang kita boleh kawal, terutama sistem pengadil. Ia (VAR) baik untuk digunakan dan secara tak langsung dapat meningkatkan permainan, jadi kita akan gunakannya,” katanya lagi.

Selepas Korea Selatan, Malaysia dijadualkan menentang Thailand pada Ahad di Stadium Bunyodkor sebelum bertembung dengan Vietnam pada 8 Jun di Stadium Lokomotiv dalam perlawanan terakhir Kumpulan C.

Dua pasukan teratas akan layak ke suku akhir.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak meletakkan sebarang sasaran untuk anak buah Maloney di Tashkent.

Namun, jurulatih kelahiran Australia berusia 50 tahun itu memberitahu pasukannya sentiasa mahu pergi jauh dalam setiap kejohanan yang mereka sertai.