Kuala Lumpur City FC (KL City FC) akhirnya menemui rentak kemenangan apabila menundukkan DPMM FC 1-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, petang tadi.
Kemenangan itu cukup bermakna buat skuad kendalian Datuk Dollah Salleh selepas mereka hadir dengan misi untuk bangkit daripada kekalahan besar 0-6 kepada Kuching City FC sebelum ini, manakala DPMM turut turun dengan keyakinan susulan kemenangan 1-0 ke atas Penang FC.
Babak pertama berlangsung sengit dengan KL City berdepan kesukaran menembusi benteng DPMM. Peluang terbaik pelawat hadir pada minit ke-33, namun percubaan Danial Asri berjaya dinafikan penjaga gol KL City, Ameerul Eqhwan Mohd Fauzi.
DPMM hampir membuka jaringan sebelum tamat separuh masa apabila Ebenezer Aban melepaskan percubaan berbahaya, tetapi pertahanan KL City pantas bertindak mengeluarkan bola daripada kawasan bahaya untuk memastikan kedudukan 0-0 kekal hingga waktu separuh masa pertama.
Dollah Salleh kemudian melakukan perubahan pada awal babak kedua dengan memasukkan S. Kumaahran bagi menggantikan Syafiq Ahmad. Pertukaran itu hampir membuahkan hasil apabila Josue memperoleh peluang pada minit ke-50, namun percubaannya berjaya diselamatkan Haimie Abdullah Nyaring.
DPMM turut melakukan beberapa pertukaran dengan memasukkan Dalberto Belo Luan, Hakeme Yazid Said dan Jordan Murray dalam usaha menambah kekuatan di jentera serangan. Bagaimanapun, percubaan mereka untuk mencari gol penyamaan tidak berhasil, malah KL City terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Gary Steven dilayangkan kad merah oleh pengadil, Nazmi Nasaruddin.
Walaupun kehilangan seorang pemain, KL City tidak mengalah dan terus memberikan tekanan sehingga usaha mereka akhirnya membuahkan hasil pada penghujung perlawanan. Josue muncul wira tuan rumah apabila menjaringkan gol kemenangan untuk memastikan tiga mata menjadi milik KL City.
Keputusan 1-0 itu menyaksikan KL City berjaya melupakan kekalahan besar sebelum ini, manakala DPMM gagal meneruskan momentum kemenangan. DPMM selepas ini dijadualkan berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 4 September, sementara KL City akan menerima kunjungan Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) pada tarikh sama.
Dalam satu lagi aksi sebelah petang, Kuching City FC meneruskan kecemerlangan apabila membelasah KRW FC 5-0. Jerome Mpacko Etame menjadi watak utama kemenangan itu dengan meledak hatrik, manakala dua lagi gol disumbangkan Safawi Rasid.