BEREGU wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah tidak mengecewakan apabila mara ke pusingan kedua Terbuka Artik di Vantaa, Finland, sebentar tadi.
Pasangan nombor dua dunia itu tidak berdepan masalah menewaskan gandingan Denmark, Natasja P Anthonisen-Amalie Cecilie Kudsk 21-13, 21-13 dalam masa 32 minit di Arena Energia.
Kemenangan itu menjadi permulaan sempurna buat Pearly-Thinaah yang tampil dengan keyakinan tinggi selepas beberapa aksi konsisten sebelum ini.
Mereka bakal berdepan cabaran pasangan Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma-Meilysa Trias Puspitasari esok bagi perebutan tempat ke suku akhir.
Pertemuan itu dijangka sengit memandangkan kedua-dua pasangan belum pernah berentap sebelum ini di pentas antarabangsa.
Sebagai peringatan, Pearly-Thinaah mara ke final edisi lalu sebelum akur selaku naib juara selepas tunduk kepada beregu China, Liu Sheng Shu-Tan Ning.