INSIDEN kebocoran bumbung Axiata Arena yang mengganggu perlawanan Badminton Terbuka Malaysia semalam telah mencetuskan kekecohan di kalangan peminat sukan.

Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) tampil memohon maaf kepada pihak penganjur dan peminat atas gangguan yang berlaku, selain memberi jaminan bahawa langkah segera telah dan akan diambil untuk mengelakkan insiden sama berulang.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Iliyas Jamil, masalah kebocoran tersebut berpunca daripada proses penggantian bumbung lama yang telah bermula sejak pertengahan 2024.

Projek ini, yang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kontraktor yang dilantik, bertujuan menaik taraf struktur bumbung yang digunakan sejak 1998 tanpa perlu menutup operasi Axiata Arena sepenuhnya. Sejak proses ini bermula, tiada kebocoran direkodkan sehingga insiden yang berlaku semalam.

“Kami telah melaksanakan tindakan segera sejak pukul 4.30 petang untuk mengalirkan air hujan dari gelanggang, dan aksi dapat disambung semula pada pukul 8 malam. Kami komited memastikan kejohanan ini berlangsung tanpa gangguan selepas ini,” ujar Iliyas.

PSM turut memaklumkan bahawa langkah pencegahan telah diperkukuh, termasuk menempatkan lebih 10 kakitangan khusus di bumbung sepanjang kejohanan berlangsung. Bersama kontraktor dan pihak JKR Wilayah Persekutuan, kawasan yang bermasalah telah dikenalpasti dan kerja-kerja pembaikan sedang giat dilaksanakan.

“Mesyuarat bersama JKR dan kontraktor pada 30 Disember 2024 lalu turut menekankan kepentingan untuk memastikan acara sukan tidak terganggu akibat proses penggantian bumbung ini. Pihak kontraktor telah memberi jaminan untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi menangani isu tersebut,” katanya lagi.

Insiden ini mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial, dengan peminat berharap masalah ini tidak akan berulang memandangkan kejohanan Badminton Terbuka Malaysia merupakan salah satu acara sukan berprestij yang menarik perhatian dunia.

PSM kini berada di bawah tekanan untuk memastikan arena tersebut kekal dalam keadaan terbaik sepanjang kejohanan berlangsung, lebih-lebih lagi dengan reputasi Axiata Arena sebagai gelanggang bertaraf antarabangsa.

Peminat pasti menanti tindakan susulan daripada pihak berkenaan bagi memastikan insiden seperti ini tidak lagi mencalarkan nama baik sukan tanah air.