SOH Wooi Yik sudah kembali menjalani latihan normal di gelanggang, sekali gus memberi petanda, pemain yang bergandingan dengan Aaron Chia itu bersedia untuk memburu tempat ke Jelajah Dunia Akhir 2024, Disember ini.
Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berkata, peluang gandingan yang memenangi pingat gangsa Olimpik Paris itu, masih ada dan mampu layak ke kejohanan bertaraf Grand Slam itu.
“Wooi Yik sudah jalani latihan normal dan kini sedang menetapkan fokus sahaja.
“Memang Aaron sudah tanya (kejohanan), mungkin nak beraksi di Korea (Masters) apabila terlepas aksi di China dan Hong Kong.
“Malah mereka masih boleh layak ke Jelajah Dunia Akhir sekiranya menjuarai Terbuka Arctic,” kata Rexy, ditemui di ABM.
Pengesahan Rexy itu bermakna, Wooi Yik yang mengalami keretakan tulang jari kaki kanan pada separuh akhir Olimpik sudah pulih dan bersedia untuk mengembalikan tahap kecergasan sebelum menyertai kejohanan.
Selepas kira-kira dua minggu tidak memegang raket dan hanya menjalani latihan kecergasan fizikal di gimnasium, Wooi Yik mula menjalani latihan di gelanggang pada minggu lalu.
Berdasarkan kedudukan semasa ranking Jelajah Dunia, Aaron-Wooi Yik kini berada di ranking ke-15 dengan 46,440 mata.
Terdapat tiga pemain Malaysia di hadapan beregu utama negara itu ketika ini, iaitu pasangan profesional, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani di ranking kelima (67,760 mata); Man Wei Chong-Tee Kai Wun di ranking ketujuh (60,700 mata) dan Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri di ranking kelapan (57,900 mata).
Hanya lapan pasangan terbaik ranking Jelajah Dunia layak automatik ke Jelajah Dunia Akhir dengan maksimum 2 pasangan dari satu negara yang sama.
Masih terdapat tujuh kejohanan Jelajah Dunia boleh disertai Aaron-Wooi Yik dalam misi melayakkan diri ke Jelajah Dunia Akhir, bermula dengan Terbuka Arctic (8-13 Oktober); Terbuka Denmark (15-20 Oktober) Terbuka Hylo (20 Oktober-3 November); Masters Korea (5-10 November); Kumamoto Masters Jepun (12-17 November); Masters China (19-24 November); dan Kejohanan Antarabangsa Syed Modi India (26 November-1 Disember).